KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu serpihan kayu yang terapung di Sungai Krangan, Balai Ringin.
NREB berkata, pihaknya juga mengambil berat tentang kebimbangan awam berhubung permasalahan yang berulang tersebut serta menyedari keseriusan perkara itu.
“Justeru, NREB sedang mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kesan dan mencegah kerosakan alam sekitar yang lebih serius.
“Siasatan kini sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca serpihan kayu yang terapung itu, memastikan akauntabiliti, dan mewujudkan langkah pencegahan,” menurutnya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, NREB memaklumkan bahawa pihaknya juga bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk mengeluarkan serpihan kayu bagi memulihkan kawasan yang terjejas serta mengurangkan gangguan kepada masyarakat setempat.
“Pegawai penguat kuasa turut dikerahkan untuk menilai keadaan dan menentukan tindakan yang perlu diambil.
“Manakala, usaha pembersihan sedang diselaraskan secara berkesan dengan agensi awam serta rakan sektor swasta bagi memastikan penyelesaian yang pantas,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, NREB menggesa kesemua pengusaha perladangan untuk mematuhi sepenuhnya peraturan alam sekitar bagi mengelak kemusnahan sungai yang lebih teruk.
“Kami komited untuk melindungi sumber kehidupan masyarakat setempat, memastikan keselamatan bekalan air serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan terhadap sebarang pencemaran alam sekitar.
“Kerjasama penuh daripada semua pihak berkepentingan adalah amat penting dalam mengekalkan pengurusan alam sekitar yang lestari dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang,” tegasnya.

