ARTIKEL

NUKILAN DALIA KASIM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALIA KASIM berasal dari Kuching, Sarawak merupakan ahli seumur hidup Pekasa. Karya beliau pernah tersiar dalam beberapa akhbar tempatan semenjak 1993. Puisi Aku Tiada Termampu diterbitkan dalam Antologi Sastera Kreatif Hari Guru. Antara karya yang disiarkan di akhbar sebelum ini sajak Peluang Sebelum Berpulang, cerpen Setitis Kasih Lemang Ramadan, certot Bila Tiba Saatnya dan Nenek Rumah Hijau. Karya Dalia turut termuat dalan beberapa antologi antaranya Projek Penulisan Antologi KISMy, Antologi Cerpen Karya Guru Malaysia (MBKM), Antologi Cerpen Janji dan Hasrat, Antologi Puisi Kasih Hingga Ke Syurga dan Antologi Cerpen Wanita Pekasa (DBP Sarawak).

BERASA INDAH

Manisnya mencantumkan perca kenang

antara benang reda

tersedia menghidang jarum doa

musim-musim Zulhijah

rumit bertemu menganyam

corak arca mimpi serupa

dalam lembar kekeluargaan

menjamah titip doa.

Kitakah pengkhilaf berharap

secangkir nyata mengalirkan 

hamparan aturan-Nya 

sabar mencabar tatkala leka

menghitung Zulhijah berbunga indah.

BBS Kuching

1 Mei 2023.

MENDAMAIKAN HASAD

Maafkan keterlanjuran kata sesekali

dek godaan manis tingkap iman terbuka

diterbangkan sesaat angin hasad 

hinggap di tembok sedar

kembali ke tanah kasih sayang.

Mendirikan tiang hidup

kalian mendamaikan resah

dicipta menajam akal fikir

mengandar kematangan 

menghampar tenang

hingga hujung nyawa.

BBS Kuching

April 2023.

MENITI SEDAR

Dia masih berahsia

tatkala bunga hilang wangi

seraga senyum terjual

membelakang duka kelmarin

sambil mengira kebisuan

bertakhta lama curiga

antara celah kegagalan.

Dia masih mencatat janji

di penghujung beban kenang

terlepas ke tanah sedar

lenanya berharap

menanti doa dimakbulkan

di pintu takdir bersendiri bangkit

mencari semula kemanisan mimpi

pada pesan Tuhan.

Kuching

1 Jun 2023.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU