Ramzi Junai atau Rawjie asal Asajaya.
Kini beliau menetap di Kampung Treng, Matu, Sarawak dan menjadi Guru Besar di SK Orang Kaya Muda, Paloh.
Beliau mula menulis 2019 genre sajak bertemakan kehidupan dan kebebasan. Karya beliau pernah tersiar di Suara Sarawak, Utusan Sarawak (DBP) dan wadahDBP.
Beliau meminati karya sasterawan T. Alias Taib.
Rawjie sentiasa belajar memperbaiki penulisannya demi menghasilkan sajak bermutu agar sentiasa dinikmati serta dihargai masyarakat.
Salah Siapa
Awan tidak pernah menyalahkan hujan
dikendong penuh kasih sayang
ketika ia harus pergi
untuk bertemu laut
asalnya tawar menjadi masin
Hujan tidak pernah menyalahkan laut
menyambutnya tanpa dipinta
ketika laut mula pasang
mengalirlah ia ke sungai
dari biru menjadi keruh
laut tidak pernah
menyalahkan sungai
saling berbahagi hasilnya
Mengemudi air bertemu daratan
akhirnya kembali ia ke laut semula
mentari pula menapis masinnya
lalu kembali ia ke awan
jernih dan tawar
begitulah putarannya
seiring peredaran masa
kerana tiada siapa yang salah
apatah lagi menyalahkan.
10 Jun 2023
Matu.
Penantian Belum Berakhir
Jangan ditanya
pabila aku sendiri sudah lupa
kesamaran diselimuti kegelapan
berselindung di sebalik tabir keterbatasan
akal licik mula berbisik
keyakinan dirobek dan dicarik.
Jangan ditanya
kenapa aku sendiri tiada jawapannya
alasan tanpa kepastian
penantian tiada pengakhiran
hati kecil mula runsing
mencari titik untuk kutamatkan cerita ini.
Jangan ditanya bagaimana
aku pun tidak pernah mengetahuinya
penjelasan yang hanya menyesatkan
langkah semakin menggusarkan
kata-kata menjadi halwa telinga
mungkin reda adalah jawapannya.
5 Disember 2022 • Matu.
Tabir senja
Pagi tenang
suasana sejuk dan nyaman
embun keputihan
memeluk alam
namun engkau lupa menikmatinya.
Ketika hujan turun
air berlari laju
setelah teduh
terbentuk pelangi indah
mewarnai cakerawala
namun engkau enggan menghargainya.
Tatkala tabir senja
menutupi jendela semesta
menakjubkan
bersama kuning pandangan
engkau tetap rugi
hanya menanti hadirnya malam
adakah hadir kerlipan bintang
atau hanya cahaya bulan dilindung awan?
Suram
Januari 2023.
Biodata