
SAJALI MOHAMAD mula menulis Mac 1968.
Dengan izin Allah SWT terus menulis sampai hujung nyawa dalam pelbagai genre kreatif dan non kreatif.
Beliau pernah menulis skrip drama Radio RTM Kuching penghujung 1960-an hingga 1970-an Siri Keluarga Intan.
Beliau juga pernah berjinak-jinak dalam penyelidikan yang berkait dengan bidang seni.
KAKTUS
Kaktus
jatuh hati
seiring kewaspadaan.
Kaktus
memberi pengajaran
jangan lalai.
Kaktus
daripada Allah
merobah jadi lebih baik.
3:41 pagi
September 2023.
TERUS MENCARI
Terus mencari
bertemu kekhuatiran
yang terindah
tetap ditadah
terus mencari
untuk saling melengkapi
menyantuni keberadaan
yang sentiasa bertanya
terus mencari
keredaan-Nya yang pasti
seperti dijanji
terus mencari
semua erti dari semua sudut
yang berbakti.
Kuching
1:19 petang
20 9 2023.
KESEDIHAN
Kesedihan
milik semua manusia
berada
dan tiada noktah
sampai kiamat.
Kesedihan
yang tiada dilayani
sebenarnya adalah
kehidupan.
Kesedihan itu sendirilah
menghadirkan kita di mana.
Petra Jaya
Kuching
2023.
HARAPAN
Harapan yang berlaku
lewat ujian demi ujian
pelbagai perasa.
Harapan
tidak mampu bertahan
seperti diharapkan
kerana tidak kecukupan
rempah ratus mengaromakan.
Dahsyatnya harapan
kemunculannya
dari banyak peperangan
yang bernama
harapan tinggal harap-harap
kerana soalan dijawab
dengan air mata yang bertindih.
Harapan bertahan
dari kekentalan jiwa
yang telah terawat luka-luka.
Harapan adalah
muka surat-muka surat
tebal atau nipis
sebuah buku.
Harapan itu mitos
kerana gagal dipertanggungjawabkan
kewujudannya bagaimana.
Rahmahnya harapan
kerana kesederhanaan
dipertahankan pada lebuh raya cabaran
yang tiada berkeputusan.
Petra Jaya
12:15 pagi, 2023.



