
Siti Nur Hidayah Abdullah mula menulis 2004 hingga sekarang.
Sehingga 2022, terdapat tiga novel, 50 cerpen eceran, 37 puisi, 27 esei kritikan, sebuah kumpulan cerpen dan lima antologi diterbitkan di pelbagai media cetak seperti majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, Berita Harian, ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan lain-lain.
Antara pencapaian tertinggi yang pernah diraih dalam bidang penulisan ialah memenangi tempat pertama berturut-turut dalam sayembara penulisan Hari Guru peringkat negeri Sarawak, menerima Hadiah Sastera Penulis Sarawak dan Hadiah Sastera Utusan pada 2015 dan 2016.
Oleh sebab pengarang berbangsa iban, karya yang dihasilkan cenderung kepada kearifan tempatan terutama dalam penulisan cerpen.
MERENUNG BULAN
Bulan telah lama ada
sejak lahirnya adam dan hawa
ciptaan-Nya indah
cahayanya menerangi buana.
Tatkala awan nakal menjengah
terlindunglah cahaya bulan
gelisahlah hati-hati insan
yang takut akan kegelapan pekat malam
gelabah menanggung rasa.
Kerana di sebalik cahaya bulan
tersimpan segala rahsia
banyak kisah suka duka
yang lara dan derita
yang bahagia juga sengsara
diikuti tangis yang belum reda.
Tetapi bulan tetap begitu juga
hanya layak direnung
penuh harapan dan impian
tidak terjangkau dek tangan
apalagi disentuh secara lisan
tetaplah kita merenung bulan
Kuching, Sarawak.
Angin
Telah lama ku berkaca
membelek diri
dari langit hingga ke lantai bumi
berusaha mencari kesempurnaan
yang lebih ditebali segala kelemahan.
Tiba-tiba ku tersedar
aku ini adalah angin
yang hanya dapat dirasa
tapi tidak tersentuh oleh tangan
tidak terlihat oleh mata
sekadar pemberi nyaman
ketika kepanasan
dan sesekali mendatangkan ngeri
jika melepaskan perasaan
aku terus dipersalah
percayalah! Aku bukan Tuhan.
Tapi aku tetap angin
hadir tidak mengira perlu
kerana aku patuh pada yang Satu
yang tetap menyambung tugas
ikhlas tanpa minta dibalas
Krosandra, Kuching.
Lahirnya sebuah cinta
Aku bukanlah penulis hebat
dalam melahirkan ribuan
kata bermakna
tapi akal dan mindaku
sudah sekian lama membuhul
pada derasnya detik waktu
menjadikan aku kian dewasa
berlari di belantara merdeka
sehingga melahirkan sebuah cinta.
Meski aku bukanlah penulis hebat
dalam menyusun kata makna terindah
tapi aku tetap menyimpul senyum
kerana kulihat
sayap-sayap sejahtera kian mengepak
menghiasi dada langit alam
pada bumi, tanah dan darah sendiri
menjanjikan keindahan pandangan
pada insan-insan yang berhati asi
yang inginkan keamanan
yang inginkan ketenangan
yang inginkan kedamaian
dari maraknya semangat perpaduan
maka di sini
pada tanah ini
pada bumi ini
aku merasakan
lahirnya sebuah cinta.
Matang Jaya,
Kuching.


