ARTIKEL

Gambar Hiasan

Pilih makanan halal, berkhasiat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat?

JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga kesihatan tubuh.

Makanan bukan sahaja membekalkan tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, bahkan turut mempengaruhi keupayaan seseorang untuk melaksanakan ibadah dan tanggungjawab harian.

Oleh itu, umat Islam hendaklah mengambil berat tentang pemakanan dan mengelakkan amalan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Ayat ini menjelaskan Islam bukan sekadar menuntut umatnya memilih makanan yang halal, bahkan makanan yang baik (tayyib).

Makanan yang baik merangkumi aspek kebersihan, keselamatan dan manfaatnya kepada tubuh.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk mengamalkan pemakanan seimbang serta mengelakkan pengambilan gula, garam dan lemak.

Selain itu, Allah SWT berfirman: “Dan makanlah serta minumlah, tetapi jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Ayat ini mengingatkan umat Islam supaya mengamalkan kesederhanaan dalam pemakanan dan tidak makan secara berlebihan sehingga memudaratkan kesihatan.

Rasulullah SAW juga mengajar umatnya supaya mengawal pengambilan makanan.

Sabda Baginda: “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya.

“Jika dia terpaksa melakukannya, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Islam menggalakkan umatnya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat serta mengamalkan kesederhanaan ketika makan.

Menjaga pemakanan merupakan antara usaha mensyukuri nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat, seseorang dapat memelihara amanah menjaga tubuh serta melaksanakan ibadah dengan lebih baik.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU