KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia.
Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga serta masyarakat.
Namun begitu, nikmat kesihatan sering kali diabaikan dan kepentingannya hanya disedari apabila seseorang ditimpa penyakit, termasuk diabetes atau kencing manis.
Diabetes merupakan penyakit kronik yang dicirikan oleh paras gula dalam darah yang tinggi. Penyakit ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jika tidak dikawal dengan baik.
Oleh itu, umat Islam hendaklah memahami yang menjaga kesihatan bukan sekadar keperluan hidup, bahkan sebahagian daripada tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh Allah SWT.
Kesihatan itu amanah
Islam amat menitikberatkan penjagaan kesihatan dan melarang manusia daripada melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri sendiri.
Tubuh yang dimiliki bukan sesuatu yang boleh digunakan sesuka hati, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya.
Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Ayat ini mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan yang boleh membahayakan diri.
Dalam konteks kesihatan, kita hendaklah mengelakkan tabiat yang memudaratkan tubuh dan mengambil langkah yang sesuai untuk mencegah penyakit.
Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya tentang kepentingan menjaga nikmat kesihatan menerusi sabda baginda: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah kesihatan dan waktu lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan manusia supaya menghargai kesihatan sebelum kehilangannya. Oleh itu, umat Islam hendaklah memanfaatkan nikmat kesihatan dengan melakukan amalan yang bermanfaat serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Bagi mereka yang menghidap diabetes, penyakit ini bukan alasan untuk berputus asa. Sebaliknya, mereka hendaklah bersabar, mendapatkan rawatan yang sesuai, mematuhi nasihat doktor dan terus berusaha mengawal keadaan kesihatan.
Berikhtiar untuk mendapatkan rawatan tidak bercanggah dengan tawakal, bahkan merupakan sebahagian daripada usaha menjaga amanah Allah SWT.
Pemakanan sihat
Pemakanan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan, termasuk pengurusan diabetes. Islam mengajar umatnya supaya mengambil makanan yang halal dan baik serta tidak berlebih-lebihan ketika makan dan minum.
Firman Allah SWT: “Dan makanlah serta minumlah, tetapi jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 31)
Ayat ini mengajar umat Islam supaya mengamalkan kesederhanaan dalam pemakanan.
Kita hendaklah mengawal pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, mengutamakan pemakanan seimbang serta mengambil sayur-sayuran, buah-buahan dalam kuantiti yang sesuai dan sumber protein yang baik. Pengambilan minuman manis juga perlu dihadkan.
Selain itu, umat Islam digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam secara berkala, mengekalkan berat badan yang sihat dan menjalani pemeriksaan kesihatan.
Bagi pesakit diabetes, pemakanan hendaklah disesuaikan dengan keperluan kesihatan masing-masing berdasarkan nasihat doktor.
Mereka juga tidak boleh menghentikan pengambilan ubat atau menggantikan rawatan perubatan dengan kaedah alternatif tanpa mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.
Kesimpulannya, kesihatan ialah amanah yang wajib dipelihara. Diabetes bukan penyakit yang boleh dipandang ringan, tetapi merupakan keadaan yang boleh diuruskan melalui rawatan dan gaya hidup yang sesuai.
Marilah kita mensyukuri nikmat kesihatan dengan menjaga pemakanan, mengamalkan gaya hidup yang seimbang dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Semoga usaha kita memelihara tubuh menjadi sebahagian daripada ibadah serta membolehkan kita terus berbakti kepada agama, keluarga dan masyarakat.


