KUCHING: Sepasang suami isteri diuji dengan kelahiran anak kedua mereka, Nur Aafiya Aulia Zul Fazly, yang didiagnos dengan beberapa penyakit dalam badan.
Nur Aafiya lahir pada 7 Mei tahun ini dengan pertumbuhan spina tidak lengkap (Myelomeningoccele) dan kecacatan tiub saraf tidak tutup menyebabkan kecacatan tulang spina dan saraf tunang, selain membuatkan pembedahan saraf dijalankan pada umurnya hanya dua hari.

Bayi tersebut juga mempunyai bengkak air otak (hydrocephalus), kelemahan otot kedua-dua belah kaki (diplegia), inkontinen urin (neurogenis bladder), hanya mempunyai sebelah buah pinggang, dan masalah jantung kongenital.
Disebabkan keadaannya itu, Nur Aafiya memerlukan intubasi dan bantuan mesin ventilasi pada masa kelahiran untuk pernafasan tidak lancar.
Pemeriksaan klinikal dan X-ray dada turut menunjukkan paru-paru kirinya tidak tumbuh sempurna.
Ekstubasi juga berlaku pada hari kelapan dan semenjak itu, bayi tersebut bergantung kepada bantuan alat pernafasan ‘Bilevel positive airway pressure’ (BiPAP) dan oksigen.
Bapanya, Zul Fazly Habib, 35, berkata sebaik dilahirkan, Nur Aafiya ditahan hampir tujuh bulan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan, dan kali pertama dibenarkan pulang ke rumah pada 15 November lalu.
Menceritakan lanjut, Zul Fazly yang berasal dari Perak berkata keadaan bayinya itu membuatkannya terpaksa membawa isteri, Afaharni Mohamad Hajini, 42, dan anak sulung yang juga perempuan berusia empat tahun, berpindah dari Sri Aman ke Kuching.
“Sebelum ini, kami tinggal di Sri Aman dengan saya dan isteri berniaga sepenuh masa tetapi sejak anak sakit dan perlu dirawat di HUS, mata pencarian kami terputus apabila terpaksa berpindah ke Kuching untuk menjaganya,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau menambah, sepanjang tempoh hampir tujuh bulan bayinya itu ditahan di HUS, mereka tiga beranak tinggal di Anjung Kasih namun selepas Nur Aafiya dibenarkan keluar dari hospital, mereka kini menyewa rumah pangsa di Taman Malihah, Matang.
Bagaimanapun, masalah paling membuntukan Zul Fazly adalah untuk membiayai kos rawatan Nur Aafiya, yang kini memerlukan mesin pernafasan Resmed Stellar 150, Resmed Stellar Power Station II dan
Invacare Perfecto yang ketiga-tiganya bernilai RM43,750.
Selain itu, beliau berkata Nur Aafiya juga menggunakan tiub ‘Ventriculoperitoneal Shunt’ yang berfungsi buang air dari dalam kepalanya melalui air kecil, sementara mesin BiPAP yang dipakainya buat masa ini adalah dipinjam dari HUS untuk sementara waktu.
Justeru, Zul Fazly memohon jasa baik orang ramai untuk sama-sama menyumbang biar sekecil RM1 bagi membolehkannya untuk membiayai mesin pernafasan yang sangat diperlukan oleh bayinya itu.
Sumbangan kepada bayi Nur Aafiya boleh dihulurkan menerusi akaun Maybank Zulfazly Habib, 158387091425.
Zul Fazly juga boleh dihubungi di talian 010-371 8066.





