PETALING JAYA: Nur Atiqah Norhaizad, 28, menjadi satu-satunya wanita dalam pasukan empat juruteknik Unit Peralatan Depoh Rapid Rail Sdn Bhd yang bertanggungjawab memastikan mesin dan peralatan depoh LRT Laluan Kelana Jaya sentiasa dalam keadaan baik.
Berbekalkan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Kolej Vokasional Taiping, Perak, beliau mempunyai hampir lima tahun pengalaman dalam sektor pembuatan dan elektronik sebelum menyertai Rapid Rail kira-kira tiga tahun lalu.


Tugasnya merangkumi pemeriksaan dan penyelenggaraan pelbagai peralatan termasuk mobile lifting jack yang digunakan untuk mengangkat tren ketika komponen di bahagian bawah perlu diganti atau dibaiki, manakala pemeriksaan pencegahan dan kerja pembaikan dijalankan menerusi dua syif.
Menurut Nur Atiqah, pengalaman mengendalikan mesin membolehkannya mengenal pasti masalah melalui bunyi luar biasa, kod ralat pada panel kawalan atau perubahan fizikal peralatan, dengan mesin underfloor wheel lathe menjadi cabaran terbesar kerana sistemnya yang saling berhubung.

Beliau turut pernah menyertai operasi pemulihan sebuah tren yang terkeluar dari landasan pada 2 pagi, selain mengikuti latihan dan menerima sokongan rakan sepasukan untuk meningkatkan kemahiran, dengan hasrat menjadi juruteknik kanan yang lebih berpengetahuan dan mahir dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang seperti dilapor Bernama.



