SELANGOR: Acara air terus menjadi landasan buat Kontinjen Sarawak menuai pingat emas.
Gandingan penerjun handalan, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Nur Farisya Alia Affendi turut memahat nama sebagai penyumbang pingat emas apabila mengungguli kategori platform 10 meter seirama wanita di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 sebentar tadi.
Pasangan itu menamatkan lima terjunan dengan cemerlang dengan mengumpul 259.74 mata, mengatasi wakil Perak, Siti Nurul Jannah Malik dan Trisya Ann Voon yang mengumpul 216.18 mata untuk pingat perak.
Gandingan Noor Qaisara Dayana Saiful Nazam dan Nur Aisy’ Innara Mohd Amir Hafiz dari Pahang pula sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa dengan catatan 215.94 mata.
Farisya dan Nur Eilisha sebelum ini sudah membuktikan kehebatan mereka di pentas antarabangsa apabila memenangi emas dalam acara terjun platform 10 meter seirama wanita pada Sukan SEA di Thailand.
Pengalaman mereka jelas terserlah apabila mempamerkan persembahan yang konsisten sebentar tadi, dengan mengumpul 40.80 mata bagi setiap dua terjunan pertama sebelum mencatat 53.82 mata pada terjunan ketiga.
Mereka kemudian mengukuhkan kedudukan dengan 61.32 mata pada terjunan keempat sebelum menutup saingan dengan catatan tertinggi 63.00 mata.


