ARTIKEL

JADI KEBANGGAAN... Nur Syakura menunjukkan Piala Johan Qariah yang dimenanginya. | FOTO: MOHD ALIF NONI

Nur Syakura raih Johan Qariah antarabangsa, disiplin jadi kunci

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Disiplin diri, latihan konsisten dan bimbingan guru menjadi antara kunci kejayaan Ustazah Nur Syakura Mohamad Musa, 31, merangkul gelaran Johan Qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQA) Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66, 2026.

Qariah kelahiran Kuching itu menegaskan kejayaan berkenaan tidak hadir dengan mudah, sebaliknya hasil persediaan berterusan, sesi talaqqi bersama guru, selain sokongan dan doa ibu bapa, suami dan ahli keluarga.

SOKONGAN… Nur Syakura (tiga kiri) bergambar bersama suaminya, Awg Safwan Awang Safari (tiga kanan) dan (dari kiri) Mohamad Musa Mat, Datuk Ismawi Duet, Ustazah Fatimah Kiffliah serta Ustaz Che Yahya Che Daud. | FOTO: MOHD ALIF NONI

Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Guru al-Quran di Pusat al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), berkata latihan secara konsisten penting untuk memperbaiki mutu bacaan dan memastikan persembahan berada pada tahap terbaik.

“Pertama sekali, saya menerapkan disiplin pada diri untuk konsisten menjalani latihan, bertalaqqi dengan guru dan sentiasa menghargai guru-guru serta ahli keluarga, ibu bapa dan suami yang menjadi sumber kekuatan dan keberkatan, insya-Allah,” katanya.

SELAMAT PULANG… Ketibaan Nur Syakura disambut dan diraikan ahli keluarganya. | FOTO: MOHD ALIF NONI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba di Terminal Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, semalam.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datuk Mual Suaud serta tetamu kehormat lain.

Mengulas persiapan menghadapi pertandingan antarabangsa itu, Nur Syakura berkata beliau menjalani latihan intensif setiap hari pada waktu pagi, petang dan malam sepanjang berada di Kelantan.

Katanya, latihan itu dilaksanakan menerusi inisiatif DHQc-MIS yang menghantarnya ke Kelantan bagi mengikuti persediaan khusus, termasuk memperkemas format pertandingan dan teknik bacaan.

Beliau turut meneruskan latihan kendiri setiap hari bagi memantapkan mutu bacaan, dengan persediaan bermula sejurus selepas menamatkan pertandingan peringkat kebangsaan pada April lalu sehingga pertandingan antarabangsa pada Oktober.

Nur Syakura turut merakamkan penghargaan kepada guru pembimbingnya, Ustaz Che Yahya Che Daud dan isterinya, Ustazah Fatimah Kiffliah atau mesra dipanggil Umi, atas bimbingan serta sokongan sepanjang tempoh persediaan.

Menurutnya, pasangan itu bukan sahaja membimbing dari segi bacaan, malah memberikan perhatian dan sokongan seperti keluarga sendiri hingga saat beliau bersedia naik ke pentas pertandingan.

Pada masa sama, beliau turut menghargai jasa guru-guru yang membimbingnya sejak mula menceburi bidang tilawah al-Quran.

Dalam pada itu, beliau menyeru qari dan qariah di Sarawak supaya terus memupuk kecintaan terhadap al-Quran dan menjadikan bidang tilawah sebagai medium dakwah kepada masyarakat.

“Untuk para qari dan qariah di Sarawak khususnya, kita sama-sama cuba menjadi generasi yang mencintai al-Quran. Bidang tilawah ini adalah salah satu dakwah kita kepada masyarakat, khususnya di Sarawak,” ujarnya.

Selain kejayaan di peringkat antarabangsa, Nur Syakura turut muncul Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 serta Johan Qariah Peringkat Sarawak Kali Ke-65 pada 2026 dan Kali Ke-62 pada 2023.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU