
MASALAH kegemukan atau obesiti merupakan isu yang berlaku di peringkat global, bukan sahaja melibatkan golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak.
Berat badan yang berlebihan ini memang perkara yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, bahkan ia dianggap normal oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, apabila perkara ini melibatkan kanak-kanak, sudah pasti ia perlu dipandang serius kerana kita mahu melahirkan pewaris negara cergas dan cerdas.
Selain itu, masalah obesiti ini juga dikatakan penyumbang risiko tinggi kepada pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis atau diabetes, penyakit jantung dan masalah kolesterol.
Memetik laporan berita nasional baru-baru ini, obesiti merupakan antara faktor utama yang menyebabkan risiko penyakit berkaitan jantung kekal, sekali gus menjadi penyebab utama kematian di Malaysia sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim menerusi laporan berita itu juga memaklumkan hampir 50 peratus pesakit jantung mempunyai kriteria obesiti.
Katanya, ia berdasarkan kaji selidik dilakukan Kementerian Kesihatan setiap lima tahun yang menunjukkan beberapa faktor risiko penyakit berkenaan di negara ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa yang kedua adalah masalah darah tinggi diikuti kencing manis.
Sekitar 20 peratus rakyat Malaysia mempunyai penyakit kencing manis dan masalah kolesterol.
Perkara ini juga amat membimbangkan kita, ia merupakan masalah yang berlarutan dalam kalangan masyarakat.
Jika obesiti tanpa penyakit bukan satu perkara yang membimbangkan tetapi sekiranya memiliki penyakit ia sudah pasti akan menimbulkan kesan yang negatif.
Dalam hal berkaitan, merujuk laporan berita antarabangsa, lebih separuh penduduk dunia dijangka mengalami berat badan berlebihan atau obes menjelang 2035 jika tiada tindakan segera diambil.
Atlas Persekutuan Obesiti Dunia 2023 menjangkakan 51 peratus penduduk dunia, atau lebih daripada empat bilion akan mengalami obesiti dalam tempoh 12 tahun akan datang.
Kadar obesiti meningkat dengan cepat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan di negara berpendapatan rendah.

Laporan itu juga mendapati bahawa obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh meningkat lebih dua kali ganda jika dibandingkan dengan 2020, iaitu kepada 208 juta lelaki dan 175 juta perempuan menjelang 2035.
Apabila memikirkan masalah obesiti ini perkara utama yang bermain dalam fikiran kita sudah pasti gemuk, masalah bentuk badan dan terdapat juga individu yang hilang keyakinan diri.
Pada masa yang sama, kegemukan ini juga ada yang berlaku sejak kecil, ada juga yang berlaku semasa remaja dan yang kita lihat dalam kalangan masyarakat adalah selepas wanita melahirkan anak.
Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah ini? Tidak perlu dipersoalkan lagi kerana umum mengetahui bahawa masalah obesiti ini hanya dapat diselesaikan dengan diet atau mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Trend masyarakat kita ada segelintir daripadanya gemar menggunakan ubat kurus untuk mendapatkan hasil yang cepat, malah golongan ini tidak memikirkan natijahnya.
Kesan sampingan daripada ubatan seperti ini perlu difikirkan.
Justeru, jika seseorang itu takut akan kesan sampingan, mereka akan memilih untuk menjalani diet yang sihat dan sekarang ini juga banyak pilihan untuk jenis-jenis diet ini tetapi ramai orang kita yang suka mengambil jalan pintas dengan menelan pil kurus.
Antara diet yang popular dan boleh diamalkan, sebagai contoh adalah Intermittent Fasting (IF) ia bertujian untuk mengatur pola makan kita mengikut jadual yang tertentu.
Di samping itu, diet ini juga menggunakan kaedah puasa. Ia bukan sahaja menarik minat ramai individu beragama Islam, juga mereka yang bukan Islam dan konsep ini juga sangat popular di dunia barat lebih-lebih lagi dalam kalangan atlet dan selebriti.
Terdapat juga diet lain yang boleh kita amalkan seperti seperti Diet Atkins, Diet Keto, Diet Kalori dan Diet Suku Suku Separuh — diet jenis ini lebih berfokus kepada pengaturan menu diet dan jenis makanan diet.
Konsep diet seperti ini memerlukan perancangan dan pengamalan yang lebih terperinci dan teliti.
Oleh itu, konsep ini agak membebankan bagi sesetengah pihak.
Tetapi dalam meniti kehidupan yang serba moden, segala-galanya boleh dicapai hanya menggunakan hujung jari.
Jika kita benar-benar malas untuk keluar joging, berjalan kaki dan gemar menari atau mengalami obesiti yang melampau, kita boleh melakukan senaman yang sesuai dengan keadaan dan kemampuan.
Terdapat banyak video yang dimuat naik di laman Facebook, YouTube tentang video zumba atau tarian yang boleh membantu memecahkan lemak.
Jadi apa lagi alasan untuk kita tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat ? Tepuk dada, tanya selera.
Sememangnya masalah obesiti ini merupakan perkara biasa yang berlaku di sesetengah negara maju.
Negara yang sedang membangun pula biasanya akan mempunyai kadar obesiti yang rendah kerana tidak mempunyai makanan yang cukup.
Kesimpulannya, hanya diri kita sendiri yang dapat mencorak perubahan dan bagaimana kita ingin mengelakkan obesiti? Terpulang kepada diri kita sendiri.



