Objektif Karnival Pantai Belawai tercapai

TANJUNG MANIS: Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Karnival Pantai Belawai yang berlangsung selama seminggu bermula 6 Julai dan melabuhkan tirainya, hari ini.

Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang berkata, penganjung bukan sahaja penduduk setempat tetapi juga mereka yang datang dari luar daerah ini.

Katanya, sebanyak 150 gerai jualan disediakan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

“Karnival berperanan sebagai serampang tiga mata, mempromosikan Belawai kepada orang luar di samping menjadi gelanggang mewujudkan persefahaman yang lebih erat dalam kalangan penduduk.

“Ia juga menjadi platform kepada penyatuan hubungan kekeluargaan serta mampu memupuk semangat muhibah dan kekitaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum dan kepercayaan agama. Sudah pasti objektif karnival tahun ini tercapai,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang dan isteri, Suzana Hasli mengabadikan kenangan bersama Ratu Karnival Pantai Belawai 2019.

Beliau berkata, karnival membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menjana pendapatan tambahan menerusi jualan gerai-gerai makanan dan minuman.

Majlis perasmian karnival disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Udin berkata, selain artis tempatan, beberapa artis terkemuka tanah air juga akan menghiburkan peminat mereka antara, Dayang Nurfaizah, Bob, Hafiz dan Sarikei Buskers selain persembahan bakat-bakat tempatan.

“Pada masa yang sama kita juga menganjurkan pelbagai pertandingan termasuk sukan rakyat, ratu karnival, fesyen kanak-kanak dan karaoke.

“Kita mengucapkan terima kasih atas sokongan padu Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang,” katanya.

Kehadiran Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab pada hari pertama pesta menambah seri acara tahun ini.

“Pastinya, ada banyak ruang penambaikan untuk karnival pada masa akan datang. Antara yang dicadangkan ialah pertandingan lumba perahu,” tambahnya.

ORANG ramai membanjiri tapak karnival.

 

Persembahan bertenaga Sarikei Buskers.

Suara Sarawak