ARTIKEL

OCC: Komited pastikan tiada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan tiada seorang kanak-kanak di negara ini dibiarkan tanpa kewarganegaraan.

Ketua OCC, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki berkata, perkara itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.

“OCC, SUHAKAM menyambut baik pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik menjelang Jun atau Julai 2026.

“Walaupun OCC menyambut baik perkembangan ini, pindaan tersebut tidak terpakai kepada kes terdahulu.

“Kanak-kanak yang dilahirkan sebelum tarikh pelaksanaan perlu terus diberikan kewarganegaraan Malaysia melalui pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan dan tiada kanak-kanak wajar dinafikan hak kewarganegaraan akibat kelewatan pelaksanaan undang-undang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata OCC turut menghargai penurunan ketara jumlah tunggakan permohonan kewarganegaraan, daripada kira-kira 50,000 kes kepada kurang daripada 4,000 kes.

Beliau berkata OCC juga mengambil maklum bahawa Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 yang dipinda dijangka dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan pindaan perlembagaan tersebut.

Sehubungan itu, OCC menggesa agar peraturan-peraturan yang dipinda ini didedahkan kepada umum, prosedur dipermudahkan, dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan bagi memastikan pemohon memperoleh maklumat mengenai perkembangan permohonan mereka serta menerima maklum balas bertulis sekiranya permohonan ditolak.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, OCC menyeru agar satu strategi komunikasi awam yang jelas diwujudkan.

Tambahnya, ini termasuk usaha libat urus di seluruh negara serta latihan menyeluruh kepada pegawai barisan hadapan, khususnya di kedutaan dan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU