SIBU: Lima buah rumah tidak kekal yang terletak di tebing sungai di Kampung Hilir dilaporkan musnah dalam kebakaran, hari ini (Jumaat).
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, maklumat awal insiden itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
‘Kejadian berlaku sekitar 8 pagi dan panggilan kecemasan diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral pada 8.11 pagi.
“Susulan itu, pasukan dari BBP Sibu Sentral bersama dengan bantuan BBP Sungai Merah digerakkan segera ke lokasi,” katanya ditemui di tempat kejadian.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kedua-dua balai berkenaan bertindak pantas menjalankan operasi pemadaman sebaik tiba di lokasi kebakaran.
Menurut beliau, maklumat awal mendapati lima buah rumah kayu musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
Usaha mengesan jumlah sebenar mangsa dan siasatan punca kebakaran sedang giat dilakukan.
Sekitar 9.40 pagi, api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran, namun operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada bara yang tertinggal.
Dalam insiden tersebut, difahamkan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dilaporkan terpaksa menyelamatkan diri dengan terjun keluar melalui tingkap rumahnya.
Menurut maklumat awal, mangsa dihantar ke hospital oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.
Rekod awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan lebih 40 mangsa dikenal pasti dan berdaftar sebagai mangsa kebakaran, dengan bantuan awal sedang disalurkan.
JBPM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Maklumat lanjut kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.





