KUCHING: Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dilihat sebagai benteng penting dalam memastikan ruang digital lebih selamat untuk kanak-kanak daripada ancaman buli siber, eksploitasi seksual, serta pengantunan dalam talian (cyber grooming).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata peningkatan pelibatan kanak-kanak dalam ruang digital memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk kerjasama antara kerajaan, ibu bapa, komuniti, dan penyedia platform digital.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Ritma Kehidupan Harmoni di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Nancy berkata bahawa kesedaran mengenai bentuk buli siber juga perlu dipertingkatkan kerana masih ramai kanak-kanak tidak memahami bahawa tindakan atau kata-kata tertentu sebenarnya merupakan perbuatan buli.
Beliau berkata, pendedahan berterusan melalui media sosial dan kempen kesedaran dapat membantu masyarakat, khususnya ibu bapa dan kanak-kanak, untuk memahami risiko di ruang digital.
“Terdapat kanak-kanak yang pulang ke rumah dalam keadaan tertekan kerana dibuli, tetapi mereka sendiri tidak tahu bahawa apa yang berlaku itu adalah buli.
“Oleh sebab itu, perkara seperti ini perlu diketahui supaya mereka lebih faham dan tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan,” tambahnya.
Justeru, Ahli Parlimen Santubong itu menegaskan bahawa matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat menerokai dunia digital dengan selamat, yakin, dan sejahtera.
Nancy berkata, perlindungan kanak-kanak di ruang digital tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak, termasuk komuniti dan keluarga.
Sebelum ini, media melaporkan dua kod baharu di bawah ONSA, iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC), yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun ini.
Kod-kod tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak serta mewajibkan platform digital mengambil langkah yang lebih tegas terhadap kandungan yang memudaratkan.



