ARTIKEL

OP TIRIS 4.0 dipergiat kekang penyelewengan bahan api

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Manis bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sarikei meningkatkan operasi bersepadu OP TIRIS 4.0 bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi di perairan negeri ini.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata operasi bermula 10 April lalu memberi fokus kepada pengesanan penyalahgunaan diesel dan petrol yang berpotensi menjejaskan bekalan domestik.

Katanya, situasi geopolitik global ketika ini turut memberi kesan kepada pasaran tenaga, sekali gus menuntut penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan sumber bahan api negara sentiasa mencukupi dan terkawal.

“Langkah ini penting bagi mengekang sebarang aktiviti penyelewengan yang boleh mengganggu kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang enam hari pelaksanaan operasi, pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas 21 premis serta vesel di sekitar perairan Tanjung Manis dan Sungai Rajang.

Hasil operasi tersebut, satu tangkapan dibuat melibatkan nilai rampasan hampir RM35,000, manakala dua kes lain dikenakan tindakan amaran oleh pihak KPDN.

Walaupun operasi bersepadu berkenaan tamat, OP TIRIS 4.0 akan diteruskan secara berperingkat oleh agensi terlibat bagi memastikan pemantauan di kawasan perairan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, Mahkos menegaskan kerjasama antara Maritim Malaysia dan KPDN akan terus diperkukuh demi mencapai matlamat operasi, di samping melindungi kepentingan komuniti maritim serta keselamatan perairan negara.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi pusat operasi berhampiran untuk tindakan segera.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU