SONG: Sebanyak 70 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song pada Selasa bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta keselamatan awam di daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Song, DSP Benedict Faris Jimoy, berkata operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu diketuai oleh Inspektor Canisius Tinggang Segau dengan kekuatan seramai 16 Pegawai Rendah Polis (PRP) dari pelbagai bahagian.
“Operasi ini memberi tumpuan kepada usaha pencegahan jenayah harta benda, pemeriksaan individu dan kenderaan mencurigakan, penguatkuasaan kesalahan lalu lintas, pengesanan individu dikehendaki, serta hebahan berkaitan pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan trend terkini jenayah komersil.
“Hasil operasi: seramai 80 orang individu diperiksa, pemeriksaan kenderaan sebanyak 70 buah dengan lapan keping Saman dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kehadiran polis di lapangan bukan sahaja bertujuan mengekang aktiviti jenayah, malah turut berperanan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan setempat.
Pihak polis turut menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap jenayah penipuan serta memanfaatkan saluran rasmi yang disediakan bagi menyalurkan maklumat, bantuan dan aduan berkaitan keselamatan. -TVS

