ARTIKEL

Operasi Buaya SFC: Penduduk Lubok Punggor diminta lebih berwaspada di kawasan sungai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melalui pasukan khas SFC SWAT kini giat melaksanakan Operasi Buaya di Sungai Sadong, Lubok Punggor, Samarahan bermula 23 September hingga 3 Oktober ini.

Operasi tersebut bertujuan mengurangkan populasi buaya di kawasan berkenaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan penduduk kampung berhampiran.

Menurut kenyataan SFC, operasi ini dikendalikan oleh anggota terlatih yang berpengalaman dalam menangani reptilia berbahaya, termasuk teknik penangkapan dan pemindahan haiwan tersebut.

“Penduduk kampung dinasihatkan supaya memberi kerjasama penuh dengan mengehadkan atau menghentikan sebarang aktiviti di sungai seperti memancing, memukat dan menjala sepanjang tempoh operasi berlangsung,” kata kenyataan itu.

Tambah SFC, langkah ini penting bagi memastikan operasi berjalan lancar dan mengelakkan risiko keselamatan kepada orang awam.

Pada masa sama, SFC turut menegaskan bahawa sebarang rakaman atau liputan mengenai operasi ini adalah dilarang atas arahan Pengawal Hidupan Liar.

Larangan tersebut dibuat bagi menjaga kelancaran operasi serta mengelakkan sebarang gangguan luar yang boleh menjejaskan keselamatan pasukan mahupun orang awam.
SFC dalam kenyataannya turut menasihatkan masyarakat agar lebih berwaspada ketika berada di kawasan sungai yang dikenal pasti sebagai habitat utama buaya.

“SFC komited dalam memastikan ekosistem sungai sentiasa seimbang, di samping melindungi nyawa serta keselamatan penduduk setempat.

“Maklumat lanjut mengenai program dan operasi SFC boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi www.sarawakforestry.com atau saluran WhatsApp rasmi agensi berkenaan,” kata kenyataan itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU