KUCHING: Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) terus menjalankan operasi harian walaupun pelantikan rasmi Ketua Pengarah masih belum selesai.
Datuk Seri Nancy Shukri berkata struktur jabatan itu masih menunggu pindaan undang-undang berkaitan sebelum Ketua Pengarah dilantik secara rasmi bagi mengelakkan sebarang pertindihan dengan akta lain.
“JPKK selama ini kita mahukan ia bebas dan pengoperasiannya memang sentiasa berjalan.
“Cuma pelantikan Ketua Pengarah belum dapat dibuat kerana ia melibatkan undang-undang. Kita belum selesai meminda undang-undang yang berkaitan,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan dan Pameran Dayung Warisan: Dayung Young Heritage Leaders Programme di Mahkamah Lama Kuching, hari ini.
Sementara itu, Nancy berkata Dr Sufian masih memangku jawatan sebagai pengarah bagi memastikan aktiviti jabatan berjalan lancar.
“Kita tunggu bagaimana pihak kerajaan akan mengaturnya. Yang penting, petugas dan jawatan telah ditambah dan perkara itu sudah dilaksanakan. Dari segi perkhidmatan, tiada masalah,” ujarnya.

