BAU asap, penglihatan sangat terhad, tanah gambut yang tenggelam hingga ke paras lutut apabila dipijak dan hutan yang seolaholah tidak berpenghujung.
Pengalaman hampir tiga dekad lalu masih segar dalam ingatan Abang Yusof Abang Shebli yang terlibat dalam Operasi Jerebu 1997, misi bantuan pemadaman kebakaran hutan Malaysia ke Indonesia.
Pengalaman selama tiga minggu di hutan yang menjadi salah satu kenangan paling panjang dan kekal hidup dalam diri Abang Yusof sepanjang tempoh 34 tahun tiga bulan perkhidmatan sebagai anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Bagi pesara bomba berusia 67 tahun berasal dari Sibu ini, setiap kali jerebu kembali menyelubungi ruang langit negara, ingatannya dibawa semula ke hutan tebal di Kalimantan Barat ketika beliau bersama lebih 100 anggota bomba Sarawak menyeberangi sempadan untuk berdepan kebakaran hutan dalam keadaan yang jauh daripada selesa dan selamat.
Beliau menyertai sekitar 1,200 anggota bomba dari Semenanjung yang telah terlebih dahulu di Sumatera dan Kalimantan Barat.
Pasukan dari Sarawak dianggotai sekitar 107 anggota, manakala 78 dari Sabah ditugaskan menangani titik panas yang telah dikenal pasti bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak kerana api bukan sahaja kelihatan di permukaan, malah terus hidup jauh di bawah tanah.
Hari ini, apabila Sarawak sekali lagi berdepan jerebu sehingga pengisytiharan darurat dibuat di Bahagian Serian pada 4 September kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah lebih 500, kenangan itu kembali satu demi satu walaupun jerebu 2026 berlaku pada zaman dengan teknologi, peralatan dan sistem pengurusan bencana yang jauh lebih baik.
“Keadaan sekarang memang mengembalikan semula kejadian pada jerebu 1997 yang memang masih segar di ingatan. Bagi saya, perbezaannya pada tahun 1997 lebih teruk sehingga Sarawak diisytihar darurat dengan IPU mencecah lebih 800.
Ketika itu, asap sangat tebal sehingga jarak penglihatan menjadi sangat terhad.

Dalam keadaan tertentu, rakan anggota yang berada di hadapan pun sukar dilihat dengan jelas “IPU di sana pada ketika itu mencecah sehingga 1,000 lebih sehinggakan hendak bercakap dengan rakan yang di sebelah pun sukar dan tidak jelas, asap sangat tebal,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, di Kuching, semalam.
Kata-kata itu datang daripada seorang yang pernah berjalan di dalamnya, bekerja berjam-jam dalam asap dan merasai sendiri bagaimana kebakaran tanah gambut boleh menjadi musuh yang sukar ditundukkan.
Malah, rekod Jabatan Alam Sekitar menunjukkan episod jerebu 1997 berlaku dari September hingga November dan dipengaruhi kebakaran hutan serta fenomena El Niño yang memanjangkan musim kering.
Di Sarawak, keadaan menjadi begitu buruk sehingga darurat jerebu diisytiharkan selama 10 hari bermula 19 September apabila IPU melebihi paras 500.
Pada 23 September 1997, bacaan IPU Kuching pula mencecah 839, angka yang kekal antara catatan paling ekstrem dalam sejarah pencemaran udara Malaysia.
Lebih penting, perjalanan ke Kalimantan tidak mudah kerana pasukan Malaysia perlu memasuki kawasan yang sukar dan berisiko tinggi.
Pengalaman ketika Abang Yusof memegang jawatan sebagai Ketua Ahli Bomba di Balai Bomba Padungan, Kuching itu membawanya berjalan masuk jauh ke dalam hutan yang dipenuhi asap dan panas bara api untuk bekerja selama lapan jam setiap hari.
Bermula dari Pelabuhan Sejingkat, Kuching beliau yang ketika itu berusia 38 tahun bersama pasukan menaiki KD Sri Indera Sakti sebelum menempuh perjalanan selama tiga hari dua malam menuju ke Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat.
Sebuah daerah luas di barat daya Pulau Borneo, Indonesia yang ibu kotanya, Kota Ketapang terletak di kawasan delta Sungai Pawan.
Perjalanan yang biasanya mungkin diukur dengan jarak di atas peta, bagi mereka diukur dengan tiga hari dua malam di atas kapal.
Laut, laluan sungai dan daratan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang.
Namun, setibanya di sana, mereka belum sampai ke destinasi sebenar. Kapal yang membawa mereka tidak dapat memasuki kawasan berkenaan kerana air terlalu cetek.
Pasukan kemudiannya perlu berpindah ke sebuah tongkang yang telah disediakan dan dikawal oleh pihak tentera Indonesia.
Dari situ, perjalanan diteruskan pula dengan lori sebelum mereka masuk jauh ke kawasan hutan dan mendirikan khemah sebagai tempat tinggal sementara.
Di situlah, pengalaman sebenar bagi Abang Yusof bermula.
Di hadapan mereka hutan yang terbentang luas sudah terbakar, asap tebal masih bergulung sementara bara api terus menyala jauh di bawah permukaan tanah.
“Setiap hari, kami perlu berjalan kaki masuk ke dalam hutan menuju ke kawasan operasi yang jaraknya lebih beberapa kilometer dari kawasan kem sebelum memulakan tugas memadam selama lapan jam sehari pada waktu siang.
“Asap tebal sentiasa memenuhi ruang dan walaupun sebahagian api kelihatan sudah padam, masih terdapat sisa-sisa api yang membara di bawah permukaan.
Ini menjadi cabaran paling sukar. Air yang dipancutkan ke atas tanah perlu benar-benar meresap bagi memastikan bara di bawahnya dapat dipadamkan,” kenangnya. D
alam kebakaran hutan yang begitu luas, cabaran paling asas ialah mendapatkan air.
Tidak seperti operasi kebakaran bangunan yang lazimnya mempunyai pili bomba, tangki atau sumber air berhampiran, keadaan hutan Kalimantan jauh lebih sukar.
Anggota perlu masuk ke kawasan yang luas dengan sumber air sukar dicapai.
Namun, pasukan ketika itu menggunakan pam mudah alih bagi mendapatkan air dari parit yang berada agak jauh dari kawasan kebakaran.
Pam-pam tersebut disambungkan untuk membolehkan air dibawa ke lokasi operasi dan digunakan untuk memadam kebakaran.
Bagi Abang Yusof, pengalaman itu turut mengajar bahawa kaedah memadam kebakaran tanah gambut memerlukan pendekatan yang berbeza daripada kebakaran biasa.
“Strategi yang paling berkesan yang kami gunakan ialah cara secara banjiran menyeluruh dengan memancut air secara menyeluruh supaya air meresap ke dalam dan dapat memadamkan bara api di dalam tanah gambut.
“Saya rasa kaedah masih relevan digunakan, tambahan jika kawasan kebakaran mudah untuk mendapatkan sumber air, akan memudahkan lagi kaedah ini,” ujarnya yang berpendapat prinsip 29 tahun lalu masih relevan untuk hari ini, terutama dalam keadaan kebakaran berlaku di kawasan tanah gambut.
Namun, operasi 1997 bukan sekadar perjuangan menentang api.

Ia adalah perjuangan menentang keadaan hutan yang sukar dijangka, dalam keadaan setiap langkah perlu dilakukan dengan berhati-hati.
Baginya, pengalaman hampir tiga dekad itu masih mempunyai nilai sehingga hari ini, khususnya apabila kebakaran berlaku di kawasan hutan yang luas dan sukar ditembusi dan berdepan pelbagai kekangan.
“Selain daripada sumber air yang terhad, kita juga berdepan cabaran cuaca yang sangat panas, bahang bara api dan terdedah dengan asap yang tebal setiap hari.
Malah, kekurangan peralatan juga menjadi cabaran bagi kami kerana contoh sekiranya terdapat kemudahan seperti jentera excavator, setidaknya dapat membantu dalam mengorek tanah serta membina parit atau laluan pemisah supaya api tidak merebak secara meluas.
“Selain itu, pokok-pokok di dalam hutan tersebut sangat tinggi dan bila-bila masa boleh tumbang menyebabkan kami perlu berjagajaga setiap masa,” katanya.
Abang Yusof juga masih ingat bagaimana mereka terpaksa berjalan di atas tanah gambut yang tebal sehingga mencapai paras lutut.
Setiap pergerakan menjadi perlahan dan memerlukan tenaga, apatah lagi selepas berjam-jam berada dalam kawasan yang panas dan dipenuhi asap.
“Kami juga takut akan kehadiran binatang dan hidupan liar yang boleh mengancam keselamatan anggota bertugas. Sepanjang bertugas, kami ada menemu haiwan dan ular mati kerana kebakaran tersebut,” kenangnya.
Operasi itu bukan sekadar menguji kekuatan fizikal. Ia turut menguji ketahanan mental anggota yang terpaksa meninggalkan keluarga dalam tempoh yang panjang.
Ketika itu, Sarawak sendiri sedang berdepan keadaan jerebu yang cukup serius sehingga darurat diisytiharkan.
Dalam keadaan keluarga turut berada dalam suasana cemas, Abang Yusof dan rakan-rakannya pula berada ribuan kilometer dari rumah, di dalam hutan yang penuh risiko
. “Ya, sejujurnya memang takut bila memikirkan keselamatan diri dan rakan setugas yang lain kerana kami terdedah kepada asap yang berkemungkinan mengandungi racun.
Selain itu, kami juga terdedah dengan jangkitan malaria kerana tiada sekatan untuk warga di sana untuk bergerak. “Bahkan, selepas operasi satu operasi dan ketika kami kembali ke tempat tinggal, salah seorang anggota mengalami jangkitan malaria.
Keadaan itu memerlukan tindakan segera apabila pihak Tentera Udara Malaysia menghantarnya pulang ke Sarawak menggunakan helikopter,” katanya.
Beliau mengakui, mereka juga manusia yang memiliki keluarga, mempunyai kebimbangan dan sedar bahawa setiap kali melangkah masuk ke hutan, keselamatan diri tidak pernah dijamin. Namun tugas tetap tugas.
“Kami terpaksa berkorban meninggalkan keluarga selama lebih kurang 3 minggu di Sarawak yang juga diisytihar darurat.
Selain itu, kawasan tempat tinggal kami sendiri di sana tidak selesa dan terdedah dengan keadaan yang sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa,” ujarnya.
Operasi itu kemudian menjadi sebahagian daripada sejarah bantuan Malaysia dalam menangani kebakaran hutan di Indonesia. Atas sumbangan dan pengorbanan dalam operasi tersebut, Abang Yusof menerima sijil penghargaan daripada Kerajaan Malaysia bertarikh 23 September 1997, sebagai tanda terima kasih atas sumbangan serta pengorbanan anggota yang terlibat.
Sijil tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hari ini, pengalaman itu menjadi sebahagian daripada sejarah hidupnya.
Hari ini, orang ramai mungkin melihat perkembangan jerebu melalui aplikasi telefon, bacaan IPU dan arahan untuk mengurangkan aktiviti luar. Tetapi bagi Abang Yusof, ia mempunyai makna yang jauh lebih dalam.
“Bagi saya, kita belum benarbenar belajar daripada tragedi 1997 ini kerana orang masih lagi tidak takut untuk melalukan kebakaran.
Namun, pengalaman 29 tahun lalu membawa makna besar dalam hidup saya.

Bagi saya, semua pengalaman di sana memang sukar dilupakan, dari awal sampai berakhir operasi.
“Malah setiap langkah dan operasi masih segar diingatan, tetapi paling saya saya suka dan ingat ialah orang kampung di sana amat menghormati kami, mereka menganggap kami sebagai wira mereka,” kenang beliau.
Abang Yusof memulakan kerjaya di Balai Bomba Sentral Sibu dari 1980 hingga 1991, sebelum berpindah ke Balai Bomba Padungan, Kuching dari 1992 hingga 1994.
Dari 1995 hingga 1997, beliau bertugas di Balai Bomba Jalan Pujut, Miri, termasuk ketika terlibat dalam operasi 1997 sebelum kembali ke Padungan dari 1998 hingga 2000.
Perjalanan kerjayanya kemudian diteruskan di Balai Bomba Batu Lintang, Kuching dari 2001 hingga 2010, kembali ke Balai Bomba Padungan dari 2011 hingga 2012, sebelum ditempatkan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tabuan Jaya dari 2013 hingga 2015.
Beliau menamatkan perkhidmatan dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Bomba Kanan 1 di Pejabat Operasi Negeri Sarawak, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, dengan rekod tempoh perkhidmatan selama 34 tahun tiga bulan.




