Operasi pengeboman air berjaya – Uggah

KUCHING: Operasi pengeboman air untuk memadam kebakaran tanah gambut dan belukar di Sri Aman menggunakan pesawat Bombardier CL-415 milik Maritim Malaysia telah berjaya dilakukan hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, pesawat berjaya mencedok sebanyak 10 kali air dari Sungai Lingga dan menyembur sejumlah 60,000 liter air di kawasan terbakar iaitu Kampung STC, Sri Aman.

“Operasi hari ini berhasil. Operasi yang bermula pada jam 8.15 pagi dan berakhir pada jam 12.15 tengah hari sedikit sebanyak dapat memadam kebakaran hutan sekali gus menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua agensi yang bertungkus lumus dalam menjayakan operasi pemadaman dan pembenihan awan terutama Bomba, Maritim, Meteorologi Malaysia, Tentera Udara, Lembaga Air Kuching, Jabatan Kerja Raya, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Polis dan Residen Sri Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata operasi sama telah dilakukan pada 18 dan 21 September lalu tetapi gagal disebabkan pesawat tidak dapat melakukan pencedokan air.

Jelas beliau, antara penyebab yang menggagalkan operasi itu ialah terdapat pukat nelayan di lokasi sesuai untuk pesawat melakukan pencedokan air selain tidak mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan untuk mengalihkan pukat tersebut.

Selain itu, terdapat objek yang meragukan di dalam sungai menyebabkan pesawat mengambil keputusan untuk tidak melakukan operasi pencedokan air kerana ia akan merisikokan pesawat dan anak kapal.

Beliau menambah pihak Bomba yang membuat tinjauan selepas itu memaklumkan objek meragukan tersebut adalah pancang dan tidak dapat dibuang.