BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan cuaca buruk.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, operasi hari kedua sepatutnya bermula pada jam 9.00 pagi tadi gagal diteruskan kerana masalah cuaca selain paras air yang kurang baik.

“Pihak Maritim membuat taklimat SAR kepada semua agensi yang terlibat dan seterusnya memaklumkan tentang keadaan cuaca.
“Kita hanya bersiap sedia di pangkalan namun demikian, Maritim memaklumkan operasi tidak dapat dijalankan atas faktor keselamatan. Operasi bersambung pada esok pada jam 8 pagi,” katanya.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Sadar itu, dilaporkan sedang bermain telefon dan berada di tepi kapal sebelum disedari terjatuh ke dalam laut oleh rakannya.
Difahamkan, rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal.
Operasi turut dibantu pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).




