KUCHING: Kunjungan delegasi Parlimen Eropah dan Kesatuan Eropah (EU) ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak membuka ruang untuk memperluas kerjasama akademik dan penyelidikan antarabangsa.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Datuk Profesor Dr. Firdaus Abdullah berkata, kerjasama berkenaan khususnya menerusi program ERASMUS+ dan inisiatif penyelidikan antarabangsa terus membuka peluang bermakna kepada warga universiti.
“Sejak 2015, UiTM Sarawak telah menyertai tujuh konsortium ERASMUS+ di bawah Tindakan Utama 2, sekali gus menjalinkan hubungan dengan 71 institusi di seluruh Eropah dan Asia.
“Tahun ini, kami turut berbangga kerana berjaya memperoleh dua projek penting Suruhanjaya Eropah, iaitu projek WATERDEAL di bawah Horizon Europe dan Program Mobiliti Kredit Antarabangsa ERASMUS+ (2026–2029) dengan kerjasama Universiti Sapienza Rom.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami dalam memajukan kerjasama akademik antarabangsa, memperkukuh keupayaan penyelidikan, memperluas mobiliti pelajar dan kakitangan serta menyumbang kepada aspirasi Sarawak ke arah masa depan berteraskan digital dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain perbincangan akademik, program turut merangkumi aktiviti penanaman pokok Erasmus, pameran produk dan inisiatif komuniti UiTM Sarawak serta lawatan ke Galeri Islam Nusantara dan Pusat Sumber dan Pembelajaran Erasmus.
Katanya, aktiviti ini menyediakan peluang bermakna untuk berkongsi pencapaian universiti, usaha pelibatan komuniti serta komitmen terhadap kelestarian.
Menurutnya lagi, kunjungan delegasi itu turut mencerminkan kepentingan dialog berterusan, persefahaman dan kerjasama bermakna antara Malaysia dengan EU.
“Kami amat menghargai kesudian delegasi meluangkan masa, menunjukkan minat dan berinteraksi dengan UiTM Sarawak serta berharap dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan kelestarian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan seluruh warga UiTM Sarawak atas usaha, komitmen serta layanan mesra yang diberikan bagi memastikan kunjungan berkenaan berlangsung dengan lancar dan bermakna.
“Saya yakin kerjasama antarabangsa seperti ini akan terus membuka peluang baharu kepada pelajar dan kakitangan, merangsang penyelidikan berimpak serta memperkukuh kedudukan UiTM Sarawak di peringkat global.
“Marilah kita terus membina jambatan kerjasama merentas sempadan menerusi pendidikan, inovasi dan aspirasi bersama ke arah masa depan yang lebih baik serta mampan,” katanya.
Sementara itu, delegasi EU ke Malaysia diketuai Timbalan Ketua Delegasi merangkap Ketua Seksyen Politik, Akhbar dan Maklumat, Dr. Insa Ewert, bersama Pegawai Politik dan Komunikasi, Alexandar Melamed.






