KUCHING: Dua lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 20 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang dikaitkan dengan aktiviti lumba haram.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, penahanan itu dibuat dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan Masja, Ahad lepas.
“Operasi berkenaan dijalankan bermula 3.30 petang pada 29 Mac hingga 2.30 pagi keesokan harinya, dengan fokus membanteras kegiatan samseng jalanan serta meningkatkan pematuhan undang-undang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, seramai tiga pegawai kanan bersama-sama 32 anggota terlibat dalam operasi tersebut, termasuk sokongan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Katanya, sepanjang operasi dijalankan, polis memeriksa seramai 118 individu serta 108 kenderaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan, terutamanya melibatkan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
“Sebanyak 65 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan seperti pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi dan penggunaan yang menyalahi undang-undang.
“Sebanyak 350 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata, operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa.
Alexson turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta sentiasa mematuhi undang-undang, termasuk tidak mengubah suai struktur asal kenderaan secara tidak sah.

