KUCHING: Seramai 86 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Ops Sapu yang dijalankan di Sebuyau dan Simunjan selepas disyaki melanggar pelbagai peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Jurucakap JIM Sarawak, operasi selama 11 jam bermula malam 7 Julai hingga pagi 8 Julai itu dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuching yang menyasarkan penempatan pekerja warga asing di tiga lokasi sekitar Sebuyau dan rumah kongsi di ladang kelapa sawit di Simunjan.
“Sepanjang operasi itu, seramai 93 Orang Yang Diperiksa (OYDP) menjalani pemeriksaan, dengan 86 daripadanya ditahan bagi membantu siasatan.
“Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah JIM Sarawak, selain penahanan terbabit, pihak imigresen turut mengeluarkan satu saman saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.
JIM Sarawak turut menyeru agar orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Katanya, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu memperkasakan usaha penguatkuasaan, sekali gus memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara.

