KOTA SAMARAHAN: Ops Tapis Khas Narkotik yang dilaksanakan di daerah ini bukan sahaja membawa kepada penahanan 15 individu, malah mendedahkan penggunaan premis penginapan sebagai lokasi aktiviti penyalahgunaan dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, operasi selama empat hari bermula 28 Mac itu digerakkan oleh IPD Kota Samarahan dengan tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi.
“Hasilnya, pelbagai tindakan diambil terhadap individu yang disyaki terlibat dalam pemilikan dan penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya.


Barry menambah, daripada keseluruhan tangkapan, seorang individu disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, empat di bawah Seksyen 12(2), manakala 10 lagi di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Katanya, satu serbuan yang dijalankan pada 30 Mac lalu menjadi antara perkembangan paling signifikan dalam operasi tersebut apabila polis menyerbu sebuah hotel di sekitar daerah ini hasil maklumat risikan.
“Dalam serbuan antara 11 pagi hingga 1 tengah hari itu, lima individu tempatan berjaya ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 55 tahun.
“Pemeriksaan di dalam premis berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah dadah jenis methamphetamine, pil ekstasi dan Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,221,” katanya.


Beliau menambah, ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan semua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, sekali gus menguatkan siasatan terhadap mereka.
Katanya, kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tindakan lanjut diambil terhadap individu lain yang ditahan sepanjang operasi.
“Penggunaan premis seperti hotel untuk aktiviti dadah akan terus dipantau dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang awam digesa untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat, bagi memastikan usaha membanteras dadah dapat dilaksanakan secara berterusan dan lebih berkesan,” katanya.

