KUCHING: OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) membuahkan hasil positif dalam keberkesanan kolaborasi antara agensi apabila nilai rampasan keseluruhan mencecah RM11 juta dengan Sarawak merekodkan kes rampasan sebanyak RM6.7 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, menerusi OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan dari 16 Mac hingga 12 April 2026, sebanyak 13,759 pemeriksaan direkodkan dengan 239 kes dikesan.
“Sebanyak 99 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan lebih RM3.1 juta dan 61 kes melibatkan petrol RON95 dengan rampasan bernilai RM95,387.65.
“30 kes melibatkan LPG berjumlah RM45,103.34 dan 49 kes melibatkan minyak masak, gula serta tepung gandum,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) Peringkat Sarawak, di sini, semalam.
Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama erat rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa satu mesyuarat susulan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) diadakan pada 6 April lalu dengan lima keputusan utama dipersetujui.
Antaranya, mewujudkan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Sarawak yang masing-masing dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan KPDN Negeri sebagai sekretariat.


