KUCHING: Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Milton Foo, menasihati orang awam supaya segera mendapatkan bantuan perubatan sekiranya berlaku keguguran di rumah.
Beliau berkata, tindakan mengurus dan menanam janin tanpa memaklumkan pihak berkuasa boleh menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Ramai dalam kalangan anak muda, khususnya remaja perempuan, tidak menyedari perkara tersebut serta implikasinya terhadap diri mereka,” katanya.
Milton berkata demikian ketika ditemui pemberita bagi mengulas kes yang dikendalikannya di Mahkamah Majistret hari ini, membabitkan anak guamnya berusia 24 tahun yang dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Dalam kes tersebut, tertuduh didakwa sengaja menyembunyikan kelahiran janin yang mati dengan menanam janin itu di kawasan semak di Taman Malihah, Padawan, di sini pada 28 Januari 2026.
Beliau menjelaskan, kejadian itu bukan pengguguran paksa atau perbuatan sengaja membuang kandungan kerana ia merupakan keguguran yang tidak disengajakan.
“Namun, apabila kejadian seperti ini berlaku di rumah dan janin ditanam sendiri tanpa memaklumkan pihak berkuasa, ia boleh menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang,” katanya.
Milton menjelaskan bahawa tindakan pertama yang perlu diambil sekiranya berlaku keguguran di rumah ialah menghubungi ambulans dan mendapatkan rawatan segera di hospital.
“Jangan uruskan sendiri kerana undang-undang amat tegas, khususnya di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Jika perkara itu berlaku, tindakan pertama yang perlu dilakukan ialah menghubungi ambulans dan mendapatkan bantuan perubatan segera,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, beliau berkata wanita terbabit dipercayai panik dan tidak mengetahui tindakan yang perlu diambil ketika kejadian berlaku, selain tiada ahli keluarga berada di rumah pada waktu itu.
Pada keesokan harinya, wanita tersebut mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami sakit perut berterusan sebelum pihak hospital membuat laporan polis mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih banyak usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai prosedur yang perlu diambil dalam situasi kecemasan melibatkan kehamilan.



