MIRI: Para pengamal media di Sarawak mempunyai kreativiti dan kredibiliti yang tinggi dalam bidang kewartawanan, iaitu dari segi kandungan penulisan dan penyiaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, berkata mereka secara keseluruhannya berjaya menghasilkan penulisan serta kandungan yang membina untuk masyarakat.
“Saya sering kagum dengan kemampuan mereka mengolah maklumat daripada pelbagai perkara yang diucapkan melalui pelbagai sumber.
“Mereka mampu merumuskannya menjadi satu atau dua topik yang jelas dan menarik, dan itulah keistimewaan mereka,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Pra Krismas Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak memandang remeh terhadap peranan para pengamal media.
Jelasnya, ini kerana tugas sebagai seorang pengamal media adalah suatu tugas yang memerlukan banyak pengorbanan.
“Mereka sering bergegas dari satu acara ke acara yang lain, serta menghadapi cabaran yang bukan mudah bagi mereka.
“Namun, hasil kerja keras mereka membolehkan orang ramai membaca berita yang menarik pada keesokan harinya,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata bahawa peredaran zaman juga telah mengubah cara orang ramai mendapatkan akses terhadap berita kepada kaedah yang lebih menarik.
Namun begitu, katanya, tabiat membaca berita, terutamanya akhbar cetak, masih mempunyai tempat yang istimewa bagi dirinya.
“Bagi saya, akhbar cetak tetap menjadi pilihan walaupun berita digital semakin meluas.
“Itu adalah sebahagian daripada cara kita dibesarkan seperti kebiasaan menggunakan produk tertentu yang terus digunakan hingga kini,” jelasnya.

