KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menjemput orang ramai untuk menyertai Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) edisi ke-11.
Acara dwitahunan itu mula diperkenalkan pada 2001 sebagai Anugerah alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) dan kini dikenali sebagai PSEA.
NREB dalam satu kenyataan mengesahkan sebanyak lima kategori akan dipertandingkan pada PSEA kali ini.
Kelima-lima kategori merangkumi kategori industri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor kerajaan, pemilik kedai makanan dan kategori terbuka.
Menurut kenyataan itu, tema anugerah tersebut pada kali ini ialah menggabungkan kelestarian alam sekitar sebagai amalan seharian (incorporating environmental sustainability into practices).
“Ini bertujuan untuk meningkatkan usaha dan komitmen dari semua peringkat masyarakat.
Sekali gus memperlihatkan pengurusan alam sekitar yang lebih cemerlang serta menggalakkan inisiatif hijau dalam aktiviti seharian manusia.
Sebarang persoalan boleh menghubungi Pegawai Penerangan Ibu Pejabat NREB Kuching, Noor Haily Zainal di talian 017-2467101.




