ARTIKEL

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah. FOTO RAMIDI SUBARI

OSCC Samarahan buka peluang pasaran produk tempatan kepada AirBorneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Produk makanan usahawan mikro Sarawak berpotensi dipasarkan kepada penumpang AirBorneo menerusi Pusat Pengumpulan Sehenti (OSCC) di Samarahan, sebagai usaha membuka akses pasaran lebih luas kepada produk tempatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, OSCC akan berperanan mengumpul, menggred, membungkus semula, mempromosi dan memasarkan produk usahawan dari seluruh Sarawak.

Jelasnya, kemudahan berkenaan turut memberi peluang kepada produk tempatan yang memenuhi piawaian kualiti untuk dipasarkan melalui platform penerbangan, termasuk sebagai makanan yang dinikmati penumpang AirBorneo.

“Sekarang ini ada peluang untuk memasarkan produk makanan yang boleh dimakan oleh penumpang-penumpang yang naik AirBorneo.

“Makanan atau produk tempatan. Misalnya daripada kita disajikan dengan kacang, mengapa tidak kuih sepit yang terbaik dan dibungkus dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di sini, hari ini.

Fatimah memberitahu, selain kuih sepit, produk berasaskan nanas seperti jem dan tat nanas turut mempunyai potensi untuk diketengahkan sekiranya memenuhi keperluan pembungkusan dan kualiti yang ditetapkan.

“Wanita kita hasilkan jem, kemudian buat tat nanas dan dibungkus dengan menarik, juga boleh disaji kepada penumpang-penumpang.

“Banyak lagi produk kita yang bagus sebenarnya. Kita boleh pilih dan kita lihat ini adalah peluang bagi OSCC untuk memasarkan produk daripada usahawan wanita kita,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang perlu diberi perhatian ialah aspek pembungkusan, terutama bagi produk yang ingin menembusi pasaran di luar Sarawak.

Fatimah memaklumkan, OSCC yang terletak di Kota Samarahan itu mempunyai keluasan lantai kasar 1,245 meter persegi dan berfungsi sebagai kemudahan bersepadu untuk mengurus produk usahawan dari peringkat pengumpulan sehingga pemasaran.

“Produk yang dikumpulkan akan melalui proses penggredan bagi memastikan hanya produk yang memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan dipasarkan.

“Setelah dikumpul, ia akan digred dari segi kualitinya. Mana yang menepati kualiti akan dibungkus, kemudian akan dipromosi serta dipasarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata OSCC turut menyediakan inkubator usahawan bagi memberi latihan secara praktikal, khususnya dalam ekonomi digital.

“Usahawan akan dibimbing dalam aspek pengiklanan, promosi menggunakan peranti serta pemasaran produk secara digital, selain menerima sokongan teknikal untuk meningkatkan kualiti produk.

“Mana yang tidak memenuhi standard kualiti, kita tidak terus tolak tetapi kita bantu meningkatkan kualiti dan inovasi produk usahawan mikro, terutama dalam kalangan B40 yang masih memerlukan bantuan dan sistem sokongan,” katanya.

Jelasnya, konsep OSCC bukan sekadar mengumpulkan produk daripada seorang usahawan, tetapi turut membolehkan produk yang sama diperoleh daripada beberapa usahawan bagi memastikan bekalan dapat disediakan secara konsisten.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan usahawan mikro bukan sahaja mampu menghasilkan produk berkualiti, tetapi juga mempunyai kapasiti untuk memenuhi permintaan pasaran secara berterusan.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi