ARTIKEL

Affendi Jeman

Othman Abdillah dicabar dalam pemilihan SEDAR

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Datuk Othman Abdillah, bakal dicabar oleh ahli perniagaan, Affendi Jeman, dalam pemilihan dalaman parti yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.

Othman memegang jawatan tersebut sejak penubuhan parti pada 2018 yang didaftarkan secara rasmi pada 28 Mei 2019 serta diperluas sebagai parti nasional pada Ogos 2025.

Sementara itu, Affendi yang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bertanding sebagai calon bebas pro-Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Santubong, dilaporkan menyertai SEDAR pada Disember lalu.

Othman Abdillah

SEDAR dalam kenyataan media berkata Affendi mengemukakan pencalonannya secara rasmi mengikut perlembagaan parti serta peraturan pemilihan yang ditetapkan.

“Parti menyifatkan pencalonan Affendi sebagai satu perkembangan penting yang mencerminkan kematangan demokrasi dalaman parti serta keterbukaan terhadap persaingan kepimpinan.

“Pertandingan ini memberi peluang kepada ahli untuk menilai hala tuju masa depan parti dan membandingkan visi kepimpinan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi sebelum ini merupakan pengerusi penaja UMNO Sarawak dan ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) pada 2024.

Sehubungan itu, semua ahli dan perwakilan digesa supaya mengekalkan sikap saling menghormati, profesionalisme serta semangat perpaduan sepanjang tempoh pemilihan.

“Perbahasan dalaman yang sihat dan penglibatan secara konstruktif amat penting ketika parti terus memperkukuh organisasi dan membuat persiapan menghadapi cabaran politik pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, SEDAR turut menegaskan komitmen berterusan terhadap misi teras parti iaitu mewakili kepentingan rakyat, menegakkan integriti dalam kepimpinan serta membina masa depan yang lebih adil dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

Untuk rekod, SEDAR kini berstatus parti nasional selepas diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan keputusan itu berlandaskan sokongan yang diterima terutama dari wilayah Sabah, selain Kelantan dan Terengganu.

Dengan menjadi parti bertaraf nasional, ia membolehkan SEDAR memperluaskan misinya dalam membela hak rakyat agar mendapat manfaat secara langsung daripada kekayaan yang dihasilkan melalui pengeksploitasian sumber negeri dalam sektor minyak dan gas.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU