Pacu organisasi ke tahap tinggi

KUCHING: Kakitangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) disaran agar berusaha lebih gigih untuk memacu organisasi tersebut ke tahap lebih tinggi. Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, setiap kakitangan perlu menjadi warga kerja yang kompeten, berintegriti dan memiliki pelbagai kemahiran untuk mencapai misi tersebut.

“Ia sangat penting bagi semua kakitangan agensi dan anak syarikat agar terus berdaya saing dan rajin berusaha untuk menyumbang kepada pertumbuhan dinamik SEDC. “Ini kerana sebagai salah satu agensi di bawah Kerajaan Negeri Sarawak, pihak SEDC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis Ucaptama Pengerusi 2020 di salah sebuah hotel terkemuka di sini. Menurutnya, SEDC Sarawak telah diamanahkan untuk melaksanakan beberapa projek penting seperti inisiatif bas hidrogen yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 20 Januari lalu.

Kejayaan projek itu juga membuktikan keupayaan SEDC memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri demi kesejahteraan masyarakat setempat. “Kita perlu melakukan yang terbaik dalam setiap projek pada masa akan datang kerana jangkaan pihak berkepentingan adalah tinggi untuk menyampaikan perkara-yang telah dijanjikan kepada mereka.

“Kerjasama daripada semua pihak juga amat penting bagi mencapai kejayaan bersama dengan harapan ia dapat dilakukan dengan cepat dan tepat,” katanya.

Menurut Abdul Aziz lagi, sebagai entiti korporat yang bergantung dan beroperasi dengan prinsip ekonomi sejagat, SEDC juga tertakluk kepada ketidakstabilan ekonomi dan kuasa pasaran yang mempengaruhi semua jenis perniagaan di seluruh dunia.

“Hari ini kita juga menghadapi iklim pelaburan yang sangat mencabar dan tidak menentu. Keadaan pasaran sekarang terjejas dengan munculnya wabak Covid-19 yang pasti menjejaskan industri pelancongan kita,” ujar Abdul Aziz.

Tambahnya, terdapat keperluan untuk SEDC mengkaji semula pendekatan mereka meneroka kawasan baru dan memberanikan diri untuk meneroka bidang perniagaan baharu bagi menjana peluang perniagaan yang berpotensi tinggi.

Pada 2019, Kumpulan SEDC telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM50.52 juta iaitu tiga peratus lebih rendah daripada bajet RM52.24 juta yang diperoleh terutamanya daripada dividen, pendapatan faedah dan pelaburan SEDC.

Agensi itu juga mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (OPBT) sebanyak RM12.28 juta iaitu lebih tinggi daripada OPBT yang dianggarkan sebanyak RM5.20 juta terutamanya disebabkan pengurusan kos yang efektif.

Sementara itu, bagi tahun ini (2020) pula, SEDC dijangka memperoleh pendapatan sebanyak RM50.54 juta terutamanya daripada pendapatan dividen dan faedah.

Di peringkat kumpulan anak syarikat pula, mereka dijangka mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM123.67 juta dengan perniagaan berasaskan agregat, mineral dan perlombongan sebagai penyumbang utama.

Suara Sarawak