KUCHING: Visi Sarawak bukan hanya memfokuskan kemakmuran ekonomi, tetapi juga memacu peranan penting teknologi dan kejuruteraan sebagai asas untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
Menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ini kerana kerajaan negeri amat memahami peranan penting yang dimainkan oleh bidang kejuruteraan dalam membentuk dunia hari ini.

“Justeru, penganjuran Persidangan Kejuruteraan Antarabangsa Unimas ini adalah bertepatan dalam menyokong usaha Kerajaan Sarawak mengejar inovasi, kecemerlangan dan kemajuan dalam bidang kejuruteraan yang mengutamakan kemampanan teknologi serta kelestarian alam sekitar.
“Sumbangannya tidak terbatas kepada itu sahaja, ia juga berupaya memacu masyarakat dengan manfaat langsung dan tidak langsung ke ara merealisasikan aspirasi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo pada Majlis Perasmian Persidangan Kejuruteraan Antarabangsa Unimas (EnCon) 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, persidangan yang bertemakan “Penyelidikan Termaju dalam Kejuruteraan, Alam Bina dan Teknologi” itu bukan sekadar topik perbincangan, ia adalah isyarat jelas untuk menolak sempadan supaya lebih berinovasi melangkaui konvensional bagi membina masa depan yang mampan, cekap dan responsif.
Persidangan dua hari itu akan membincangkan pelbagai topik serta pembentangan sebanyak 160 kertas kerja teknikal merentas tujuh domain, termasuk elektrik dan elektronik, mekanikal dan pembuatan, kejuruteraan awam dan banyak lagi.




