ARTIKEL

Padah dipedaya rakan simpan harta curi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menyimpan harta curi milik seorang lelaki warga Pakistan.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Nur Delaila Abdullah, 27, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi sebuah kereta Proton Saga dan seunit komputer riba di sebuah pasar raya terkemuka, kira-kira jam 1.30 petang, 8 Februari lalu.

Menurut fakta kes, pada 5 Februari lalu, sekitar jam 9.50 pagi, pengadu balik dari Pakistan mendapati rumah sewanya telah dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali.

Pemeriksaan dilakukan pengadu mendapati sebuah kereta, sebuah televisyen, dokumen-dokumen peribadi, sijil kahwin, sijil cerai, kasut pelbagai jenama, barang kemas, seunit tong gas dan sebuah komputer riba hilang dicuri.

Pada 8 Februari lalu, kira-kira jam 1.30 petang bertindak atas maklumat, pihak polis telah membuat pemeriksaan ke atas kereta yang mencurigakan kerana terdapat aduan orang awam menyatakan kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Semasa membuat pemeriksaan, seorang lelaki bertindak melarikan diri manakala seorang perempuan (tertuduh) berada di dalam kenderaan terbabit.

Hasil semakan pada nombor casis enjin kenderaan terbabit sama seperti yang dilaporkan hilang. Selain itu, sebuah komputer riba yang ada pada wanita tersebut turut dirampas.

Difahamkan, tertuduh tidak mengetahui kenderaan terbabit merupakan kereta curi kerana kawannya memaklumkan bahawa ia kereta sewa daripada kenalan lain.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

 

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU