ARTIKEL

Padah mencuri, dua peniaga besi buruk dipenjara lapan bulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Padah curi dan menjual tiga buah alat pengubah (transformer) milik sebuah syarikat kejuruteraan elektrik, dua orang peniaga besi buruk masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Sia Ming Kie, 35, dan Lawrance Atam Ubong, 26, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama telah mencuri tiga unit alat pengubah milik sebuah syarikat kejuruteraan elektrik hingga menyebabkan kerugian RM5,000.

Mereka melakukan kesalahan itu di hadapan bilik stor syarikat berkenaan di Jalan Kuching-Samarahan, kira-kira jam 12 tengah hari, 4 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, jika disabit bersalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan masing-masing terhadap kedua-dua tertuduh.

Manakala pertuduhan kedua, mereka didakwa telah melupuskan harta curi dengan menjual alat berkenaan ke sebuah syarikat kitar semula di Jalan Kong Ping, sekitar jam 2 petang, 4 Februari lepas.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan itu, Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 8 Februari lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU