SIBU: Padah melakukan ugutan bunuh terhadap rakannya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan, semalam.
Mahkamah Majistret memerintahkan tertuduh yang berusia 33 tahun dari Sungai Durin, Sibu menjalani hukuman itu dari tarikhnya ditangkap 7 Disember 2023.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap perbuatannya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan di depan Majistret Flavian Edward Henry. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah panjang di Sungai Durin di sini sekitar jam 12.30 tengah hari pada 3 Disember 2023.
Dia telah mengancam untuk membunuh rakannya yang tinggal di rumah panjang menggunakan parang.
Bimbang dengan keselamatannya, penduduk rumah panjang itu kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditahan di Jalan Kubu di Kanowit pada 7 Disember 2023.
Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Norfadilah Zainal manakala Denilson tidak diwakili peguam.

