PADAWAN: Padawan Raft Safari dicadang dikembangkan sebagai satu sirkit acara rafting di Sarawak bagi memberi peluang kepada pasukan yang menyertainya bertanding di beberapa lokasi sebelum acara kemuncak di Padawan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beberapa lokasi lain yang menganjurkan acara rafting seperti Serian dan Selangau boleh diselaraskan bagi membentuk satu sirkit yang lebih tersusun.

Katanya, penyelarasan itu termasuk menetapkan jarak antara setiap acara supaya pasukan yang mengambil bahagian mempunyai ruang mencukupi untuk membuat persediaan sebelum menyertai perlumbaan seterusnya.
“Kalau dapat diaturkan supaya ia akan menjadi satu sirkit, pasukan-pasukan yang terlibat dalam acara ini akan dapat mengaturkan program mereka juga.
“Peserta yang dapat menghabiskan semua acara melalui sirkit itu mungkin boleh diberikan hadiah utama pada perlumbaan akhir,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Padawan Raft Safari 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Git, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, acara akhir sirkit berkenaan boleh dibawa ke Padawan dan dijadikan sebahagian daripada Padawan Discovery Festival.
Beliau berkata, pendekatan itu juga boleh menjadikan Padawan Raft Safari sebagai acara rafting yang mempunyai identiti dan piawaian tersendiri di Sarawak.
Menurutnya, jika terdapat empat atau lima acara rafting di lokasi berbeza, penganjur boleh menetapkan piawaian sama termasuk dari segi reka bentuk, saiz dan spesifikasi rakit yang digunakan.
“Sekurang-kurangnya kalau ada empat atau lima acara rafting seperti yang saya sebutkan tadi, kita boleh ada satu piawaian rakit, bagaimana ia dibina, saiznya dan sebagainya.
“Itu akan mewujudkan acara rafting piawaian Sarawak yang boleh kita bawa ke peringkat luar,” katanya.
Abdul Karim berkata, acara berkenaan berpotensi menarik penyertaan daripada Singapura, negara-negara Asia Tenggara dan negara lain sekiranya dibangunkan secara lebih tersusun dan mempunyai piawaian yang jelas.
Katanya, kejayaan International Dragon Boat yang kini menarik penyertaan daripada pelbagai negara boleh dijadikan contoh bagaimana sesuatu acara sukan berasaskan sungai dikembangkan menjadi acara antarabangsa.
Beliau berkata, Padawan mempunyai kelebihan tersendiri menerusi sungai, kawasan hijau, pergunungan, keindahan alam semula jadi serta keramahan masyarakat tempatan yang mampu menjadi tarikan kepada peserta luar.
“Bayangkan banyak negara datang untuk menyertai Padawan Raft Safari, bukan sekadar kelab tetapi wakil negara yang datang.
“Mereka akan membawa kenangan ini pulang kerana mereka tidak mempunyai alam semula jadi seperti ini di persekitaran mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, Padawan Raft Safari bukan sahaja menyediakan aktiviti rekreasi dan lasak, malah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Katanya, penganjuran acara berkenaan membuka peluang kepada penduduk kampung menjana pendapatan melalui jualan makanan, penyediaan perkhidmatan serta pembekalan bahan seperti buluh untuk pembinaan rakit.
“Apabila kita tidak mempunyai acara sepanjang tahun, kawasan ini mungkin agak membosankan.
“Jadi, untuk orang kampung yang terlibat dalam jualan, penyediaan makanan dan lain-lain termasuk menyediakan buluh untuk rakit, ia membawa limpahan ekonomi kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, manfaat itu turut dirasai sektor pelancongan dan hospitaliti apabila peserta dari bahagian lain perlu mendapatkan penginapan sepanjang berada di Padawan dan Kuching.
Menurutnya, hotel, inap desa, Airbnb, rumah tumpangan serta penyedia penginapan berskala kecil turut mendapat manfaat daripada kehadiran peserta dan pengunjung.
Abdul Karim berkata, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan akan terus menyokong penganjuran acara yang mampu menggalakkan aktiviti sihat, mempromosikan sungai dan alam semula jadi serta merancakkan industri pelancongan.
Katanya, penganjuran Padawan Raft Safari turut membantu memperkenalkan kawasan kampung dan persekitarannya kepada peserta yang datang dari luar.
“Dengan menyertai Raft Safari, secara tidak langsung ia mempromosikan kawasan ini, bukan sahaja kampung ini tetapi kampung-kampung sekitar yang turut terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Padawan Discovery Festival yang menghimpunkan pelbagai aktiviti sampingan turut membantu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Katanya, program tersebut memberi limpahan ekonomi kepada usahawan, pengusaha kraftangan dan peniaga makanan selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Walaupun kawasan Padawan didominasi masyarakat Bidayuh, kita lihat yang terlibat dan datang menyertai ialah masyarakat Cina, Melayu dan lain-lain.
“Secara tidak langsung, ia membuatkan kita lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain serta mewujudkan ikatan perpaduan,” katanya.

