ARTIKEL

Wilfred Yap menerima taklimat mengenai kerja-kerja pembaikan yang sedang dilaksanakan.

Paip Keluli Halang Aliran Air, Penduduk Borneo Garden Bangkit Aduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Semua kerja pembinaan mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan sistem perparitan sedia ada bagi mengelakkan risiko banjir serta kesulitan kepada penduduk setempat.

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata sebarang aktiviti pembinaan tidak seharusnya menjejaskan sistem saliran sedia ada atau memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

“Pada tahun 2025, penduduk sebelum ini pernah membangkitkan isu saliran tersumbat kepada saya dan pihak kontraktor yang terlibat. Susulan aduan tersebut, tindakan pembetulan telah diambil dan masalah berkenaan berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, sekitar November atau awal Disember 2025, kontraktor sekali lagi meletakkan tiga paip keluli merentasi saliran tanah yang sama sehingga menghalang aliran bebas air dari Borneo Garden dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan tapak ke kawasan berkenaan bersama Sarawak Metro Sdn Bhd hari ini bagi memantau dan menilai kerja-kerja pembaikan saliran yang sedang dilaksanakan susulan isu yang timbul semasa pembinaan Projek ART Laluan Merah.

Menurutnya, lawatan tapak itu diadakan susulan aduan penduduk berhubung gangguan terhadap sistem perparitan sedia ada di Borneo Garden ketika pelaksanaan projek berkenaan.

“Kita mahu memantau dan menilai kerja-kerja pembaikan terhadap sistem saliran yang terjejas.

“Keadaan ini mendorong penduduk mengemukakan aduan baharu, justeru saya segera membawa perkara tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan serta Sarawak Metro Sdn Bhd untuk tindakan segera,” ujarnya.

Semasa lawatan tapak tersebut, pegawai Sarawak Metro turut memberi taklimat mengenai langkah-langkah pembaikan yang sedang dilaksanakan bagi menghapuskan halangan serta memulihkan fungsi sistem perparitan terbabit.

Wilfred menegaskan bahawa pelaksanaan Projek ART sebagai infrastruktur pengangkutan awam utama di Kuching perlu dijalankan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

“Kita menyokong pelaksanaan Projek ART, namun sistem saliran sedia ada mesti sentiasa berfungsi dengan baik bagi mengelakkan banjir serta kesulitan kepada penduduk,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Metro Sdn Bhd atas kerjasama serta tindakan pantas dalam menangani isu tersebut.

Dalam pada itu, Wilfred mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas keprihatinan mereka dan memberi jaminan akan terus memantau perkembangan kerja-kerja pembaikan sehingga penyelesaian yang kekal dan memuaskan dicapai.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU