PAKAN: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan kawasan perindustrian khas di daerah Pakan dan Julau sebagai langkah strategik untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi serta memperkukuh sektor pertanian di kedua-dua kawasan tersebut.
Bercakap mengenai Agrofest 2026, beliau berkata majoriti penduduk di Pakan dan Julau masih bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama.
Walau bagaimanapun, mereka berdepan pelbagai cabaran untuk memasarkan produk ke pasaran yang lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, antara cabaran utama ialah keperluan memenuhi pelbagai pensijilan seperti pensijilan halal serta isu pemilikan tanah bagi memudahkan peniaga mendapatkan permit dan sijil berkaitan.

Beliau menjelaskan bahawa masih ramai penduduk di kawasan itu tidak mempunyai geran tanah di bawah Seksyen 18, sekali gus mengehadkan keupayaan mereka untuk mengembangkan perniagaan secara komersial dan mendapatkan akses kepada pelbagai insentif kerajaan.
Dalam hal ini, beliau percaya pembinaan kawasan perindustrian di Pakan atau Julau dapat menyediakan ekosistem pembangunan yang lebih berstruktur untuk aktiviti pemprosesan, pemasaran dan pembangunan produk pertanian di kedua-dua kawasan tersebut.
Cadangan itu juga dilihat berpotensi membuka ruang kepada petani untuk meningkatkan nilai tambah produk dan mengembangkan peluang perniagaan ke tahap yang lebih kompetitif.
Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji pembukaan kawasan pembangunan dalam lingkungan lima hingga 10 kilometer dari Pasar Pakan dan Pasar Julau supaya tanah Seksyen 18 dapat dipertimbangkan untuk ditukar status kepada “midzone” yang lebih sesuai bagi tujuan pembangunan.
Beliau berkata isu status tanah merupakan antara faktor utama yang menghalang pembangunan berskala besar di kedua-dua daerah.
Beliau menambah bahawa perubahan status tanah yang sesuai berpotensi menarik pelaburan baharu serta menggalakkan pembinaan premis komersial, hotel, kawasan perumahan dan pelbagai kemudahan infrastruktur.
“Jika lebih banyak kawasan dapat dibangunkan secara terancang, ia bukan sahaja akan meningkatkan nilai tanah, malah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan aktiviti ekonomi dan memperkukuh status sosioekonomi penduduk,” katanya.
Beliau yakin cadangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian dan mengembangkan zon pembangunan di Pakan dan Julau mampu menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi luar bandar serta membawa perubahan yang lebih besar kepada kedua-dua daerah pada masa hadapan.

