ARTIKEL

WILLIAM Mawan Ikom (kiri) dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shein (dua kanan) ditemui pada Majlis Penangguhan Agrofest Pakan 2026 di Laman Pakan. Foto AINI SELIKANG

Pakan nadi baharu agromakanan

AINI SELIKANG

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Bahagian Sarikei yang meliputi daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai antara hab pengeluaran makanan utama di Sarawak berikutan kekuatan sektor pertanian serta keluasan tanah yang sesuai untuk pembangunan agromakanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kelebihan yang dimiliki kawasan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negeri dan meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi Sarawak.

Daerah Pakan sendiri katanya, terkenal sebagai kawasan pengeluaran pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan produk hiliran bernilai tinggi seperti pekasam ensabi, ragi serta produk berasaskan lada yang mempunyai potensi pasaran yang luas.

“Justeru penganjuran Agrofest Pakan 2026 menjadi platform penting dalam menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk petani, usahawan tani, agensi kerajaan, pelabur dan masyarakat setempat bagi memperkukuh pembangunan industri agromakanan.

“Program seperti ini bukan sahaja mempamerkan hasil pertanian dan produk tempatan, malah membuka ruang kepada perkongsian ilmu, teknologi serta peluang kerjasama yang mampu memacu kemajuan sektor pertanian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Agrofest Pakan 2026 di Laman Pakan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata tema penganjuran tahun ini, Inovasi Pertanian Demi Keterjaminan Makanan amat bertepatan dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta sumber bekalan makanan yang mampan.

Katanya, pembangunan sektor tersebut turut menjadi antara keutamaan Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan negeri ini muncul sebagai pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.

“Penggunaan teknologi moden, inovasi serta amalan pertanian terbaik perlu diperluaskan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh rantaian bekalan makanan dan memastikan keterjaminan makanan jangka panjang.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penyediaan bantuan input pertanian, latihan kemahiran kepada petani serta pembinaan dan penaiktarafan jalan kebun, di samping menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam bidang penyelidikan, automasi, mekanisasi dan teknologi pertanian pintar bagi menjadikan pertanian sebagai industri moden yang mampu menarik minat generasi muda serta menjana pendapatan yang lebih lumayan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Agrofest Pakan 2026 sebagai penganjuran yang bersejarah apabila buat pertama kalinya diadakan di Laman Pakan selepas edisi terdahulu dianjurkan di Stadium Pakan.

Hadir sama Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shein. 

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU