KUCHING: Sindiket penipuan didakwa menggunakan modus operandi baharu dengan memasukkan wang ke dalam akaun mangsa tanpa pengetahuan sebelum menuntut bayaran balik pada jumlah jauh lebih tinggi.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kaedah itu bagi mewujudkan rekaan kononnya mangsa membuat pinjaman sebelum menggunakan ugutan untuk mendapatkan bayaran.
Beliau berkata demikian ketika mendedahkan kes seorang pemuda berusia 19 tahun yang menerima kemasukan RM200 ke akaun Maybank miliknya tanpa pengetahuan, sebelum ibu bapanya menerima tuntutan bayaran sebanyak RM8,888.
“Pemuda terbabit yang baharu tamat sekolah menengah dan kini bekerja sebagai pelayan restoran menafikan pernah membuat pinjaman dalam talian, memohon pinjaman atau memberikan maklumat akaun bank kepada mana-mana pihak kecuali majikannya.
“Pada 20 Julai lalu, sejumlah RM200 dipindahkan ke akaunnya tanpa pengetahuan atau persetujuannya. Keluarga hanya mengetahui perkara itu selepas ibu mangsa menerima panggilan meminta bayaran RM8,888,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Foo berkata, mangsa sendiri tidak menerima sebarang panggilan atau mesej daripada pihak terbabit, sebaliknya ibu bapanya terus diganggu menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.
“Sindiket itu turut mengugut untuk menghantar ‘Ah Long tempatan’ ke rumah keluarga tersebut sekiranya bayaran tidak dibuat.
“Kebimbangan keluarga turut meningkat selepas bapa mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memanggilnya menggunakan nama penuh bahasa Cina beliau, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana maklumat peribadi mereka diperoleh,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan tentang bagaimana wang RM200 berkenaan boleh dimasukkan ke dalam akaun mangsa dan bagaimana sindiket memperoleh maklumat peribadi keluarga tersebut.
Foo berkata, kes berkenaan menunjukkan sindiket terbabit semakin berani menggunakan kaedah intimidasi dan ugutan bagi memaksa mangsa membayar jumlah yang ditetapkan.
“Tindakan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang serius kerana jumlah tuntutan boleh meningkat secara tidak munasabah dalam tempoh singkat.
“Jumlah RM200 boleh menjadi RM8,888 hanya dalam tempoh empat hari. Mereka boleh menetapkan apa-apa sahaja jumlah tanpa sebarang asas,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Foo menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sindiket berkenaan, selain mencadangkan kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani kes penipuan yang melibatkan ugutan dan pemerasan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tunduk kepada tuntutan sedemikian serta segera membuat laporan polis sekiranya menerima ancaman daripada pihak tidak dikenali.
-TAMAT-

