KOTA SAMARAHAN: Peminat seni lukisan diseru hadir ke Pameran Seni Antarabangsa 2025 Kita Orang: Blue & White 400 yang berlangsung dari 10 Januari hingga 25 Januari ini di Artaven Art Space, La Promenade Mall, di sini.
Pameran yang dibawakan oleh Lai Lai Art Gallery itu merupakan kesinambungan kejayaannya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sekali gus menghimpunkan 400 artis daripada lebih 20 negara bagi memperingati ulang tahun ke-400 peristiwa Kapal Karam Wanli, iaitu sebuah kapal Portugis yang tenggelam di perairan luar pantai Terengganu dengan membawa porselin biru dan putih dari Jingdezhen, China.


Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kehadiran pameran seni itu di Sarawak merupakan satu penghormatan besar serta membuka peluang kepada artis tempatan untuk berinteraksi dengan artis antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat.
Menurutnya, pameran itu bukan sahaja menampilkan nilai sejarah dan estetika, malah membawa mesej keterhubungan dengan menyatukan manusia merentasi budaya, generasi dan sempadan melalui satu bahasa seni yang sama.
“Melalui penyertaan artis daripada pelbagai latar belakang dan negara, Kita Orang: Blue & White 400 menunjukkan bagaimana seni boleh menjadi titik pertemuan, mengingatkan kita tentang apa yang menyatukan, bukan apa yang memisahkan kita.
“Apabila kita melihat warna biru dan putih, bagi saya ia melambangkan keamanan. Terlalu banyak perkara malang berlaku di dunia hari ini seperti peperangan yang tidak perlu dan pembunuhan, sedangkan dunia sepatutnya hidup dalam keadaan yang aman damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Seni Antarabangsa 2025 Kita Orang: Blue & White 400 di Artaven Art Space, La Promenade Mall, di sini, hari ini.
Pameran itu dikurasi oleh Pengerusi Persatuan Cat Air Malaysia (MWS), Calvin Chua; Presiden Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS), Abu Zaki Hadri; serta artis ternama antarabangsa dan pengasas Lai Lai Art Gallery, Alice Chang Guerra.
Ia turut menampilkan pelbagai koleksi karya termasuk lukisan, arca dan karya media campuran yang meneroka simbolisme berpanjangan warna biru dan putih — warna yang merentasi masa dan geografi, melambangkan tradisi serta pembaharuan.
Salah satu komponen utama pameran ini ialah inisiatif penyertaan awam bertajuk “The Pieces of Us”, yang telah diperkenalkan dalam semua edisi terdahulu Kita Orang: Blue & White 400, termasuk di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Inisiatif interaktif itu mengajak orang awam dan pengunjung pameran melukis pada pinggan porselin yang pecah, sekali gus mengubah ekspresi individu menjadi pengalaman kreatif bersama.
Serpihan porselin yang telah dilukis akan dikumpulkan oleh Lai Lai Art Gallery sebelum disusun menjadi sebuah karya pemasangan kolektif berskala besar, melambangkan perpaduan, penyembuhan dan kreativiti bersama selari dengan mesej teras pameran bahawa kepelbagaian suara dan pengalaman, apabila disatukan, membentuk satu keseluruhan yang bermakna.
Sehubungan itu, Sebastian menegaskan Sarawak perlu terus dipromosikan, khususnya sebagai sebuah hab kreatif dan budaya menerusi penyediaan ruang seperti Artaven Art Space yang memainkan peranan penting dalam industri seni dan kreatif.
“Pada masa sama, melalui pertemuan seperti ini, kita juga berpeluang untuk saling mengenali. Pertemuan berasaskan minat yang sama mampu membina persahabatan jangka panjang.
“Pameran bertaraf antarabangsa seperti ini sudah pasti akan memperkukuh sektor pelancongan Sarawak serta ekosistem seni dan budaya, apabila seni, warisan dan komuniti digabungkan untuk mencipta impak yang berkekalan,” tegasnya.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Sebastian itu menandakan pembukaan rasmi pameran berkenaan untuk kunjungan awam. Kemasukan adalah percuma, dan pengunjung turut dijemput menyertai inisiatif The Pieces of Us sepanjang pameran berlangsung.

