KUCHING: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak berlangsung pada 7 dan 8 Oktober ini di Aeon Mall Kuching Central, dengan menawarkan pelbagai pakej penerbangan dan pelancongan menarik.
Acara itu kembali dengan kerjasama rakan kongsinya, Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai syarikat penerbangan rasmi yang menawarkan pelbagai promosi menarik kepada pengunjung.
Pengurus Jualan MAG di Malaysia Timur, Mohammed Firdaus Mohamed Zaid berkata, terdapat penambahan laluan dan diskaun baharu untuk penerbangan dari Kuching ke Indonesia dan India semasa pameran ke-18 itu nanti.
Katanya, mereka turut menawarkan tambang promosi istimewa untuk penerbangan antarabangsa dan domestik semasa pameran itu.
“Bagi penerbangan antarabangsa, diskaun mencecah sehingga 47 peratus, manakala bagi penerbangan domestik, diskaun adalah 40 peratus.
“Selain itu, kami teruja untuk memperkenalkan destinasi baharu, termasuk penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur, Indonesia dan India,” katanya dalam satu sidang media di pejabat MATTA, semalam.
Beliau juga mendedahkan bahawa MAG juga merancang untuk memasukkan destinasi London dan Eropah dalam tawaran mereka.
Bagaimanapun katanya, perkara ini (laluan baharu) didedahkan secara rasmi pada Pameran MATTA nanti.
Sementara, Setiausaha Kehormat Sarawak Chapter, Dayang Azizah mewakili Pengerusi MATTA, Oscar Choo berkata tahun ini, ia menampilkan 46 pempamer daripada pelbagai kumpulan agensi pelancongan.
“Hanya tinggal tiga hari lagi sebelum pembukaan pameran MATTA, pengunjung diberi peluang untuk mendapatkan pelbagai jenis pakej percutian domestik dan antarabangsa berbaloi daripada pelbagai pengendali pelancongan berlesen dan berpengalaman.
“Pengunjung juga berpeluang membeli tiket penerbangan MAG melalui ejen yang dilantik.
Kerjasama ini turut melibatkan Malaysia Airlines, Firefly dan MASWings yang menawarkan promosi menarik buat para pengunjung,” katanya.
Sebagai tambahan kepada pakej menarik itu katanya, MAG turut memberikan tiket penerbangan istimewa dalam Peraduan Pembeli.
Azizah mendedahkan hadiah utama tahun ini termasuk lima tiket dua hala secara berpasangan, ke mana-mana destinasi MASWings dalam Perkhidmatan ATR.
Selain MAG katanya, penyokong lain yang turut menyertai pameran ini termasuk Hotel Hilton, Hotel Grand Margherita, Damai Beach Resort, Sematan Palm Beach Resort, Hotel Meritin, Kampung Budaya Sarawak dan Royal Kuching Cruise.
MATTA yakin dengan kerjasama dan sokongan daripada MAG serta industri hospitaliti, pameran ini terus menjadi tarikan utama.
“Ia sekali gus membantu memulihkan semula industri pelancongan antarabangsa dan domestik, serta memberi sumbangan kepada pertumbuhan keseluruhan sektor pelancongan,” jelasnya.
MATTA turut mengucapkan penghargaan kepada inisiatif kerajaan, dalam meningkatkan kekerapan penerbangan yang memudahkan perancang percutian menghubungkan diri dengan pelbagai destinasi di seluruh dunia.
Buat pengunjung yang berminat, pameran ini dibuka bermula 10 pagi hingga 9 malam pada Sabtu dan Ahad. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi urusetia MATTA Sarawak Chapter, di talian 082-555853 (Azlina).



