Pampasan untuk pemain?

PENDEKATAN memotong gaji pemain yang cuba diambil pasukan Liga Malaysia (Liga M) susulan pandemik Covid-19 ketika ini berkemungkinan tidak akan dilaksana.

Sebaliknya, pasukan dijangka akan memikirkan pendekatan lain, termasuk hanya membayar pampasan kepada pemain sekiranya Liga M musim ini dibatalkan.

Ia selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sebarang perhimpunan awam atau membabitkan orang ramai tidak dibenarkan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah berakhir.

Ketua Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar tidak menolak kemungkinan keadaan itu akan berlaku selepas pasukan tidak lagi menjana pendapatan apabila liga dibatalkan.

Dia bagaimanapun menjelaskan, kontrak pemain bersama sama pasukan tidak akan automatik terbatal walaupun liga dibatalkan, kecuali jika syarat sedemikian terkandung dalam kontrak pemain.

Justeru katanya, pasukan dan pemain perlu mengadakan perbincangan bagi mencari pendekatan terbaik menyelesaikan isu membabitkan kontrak.

“Perkara ini kali pertama berlaku dan ia memang rumit. PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sepatutnya hanya menasihatkan atau memberi saranan, tapi keputusan penuh terletak antara perbincangan pemain dan pasukan.

“Kami pun sedang merujuk kepada peguam mengenai apa langkah yang boleh diambil untuk membela pemain sekiranya liga batal.

Mungkin pasukan perlu bayar pampasan untuk beberapa bulan atau sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, kebanyakan pasukan Liga M sudah melakukan perbincangan bersama-sama pemain bagi membuat pemotongan gaji susulan penangguhan liga akibat Covid-19.

Selain itu, Faidauz yang juga ejen atau perantara pemain berdaftar dengan FAM turut menjelaskan pasukan yang menghadapi isu tunggakan gaji sebelum ini tetap perlu bertanggungjawab melunaskannya kepada pemain.

“Tunggakan gaji sebelum ini perlu dijelaskan dan pasukan tidak boleh lupakan.

Apa yang termasuk dalam pendekatan pemotongan gaji hanya membabitkan bulan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya