Pan Borneo: JKR Sarawak dilantik sebagai Pegawai Penguasa

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini menyerahkan surat pelantikan sebagai Pegawai Penguasa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata dengan pelantikan itu, JKR Sarawak bertanggungjawab memantau dan mengawal selia pelaksanaan projek serta menguruskan pentadbiran kontrak manakala Wakil Pegawai Penguasa bertanggungjawab membantu Pegawai Penguasa dalam pemantauan dan pelaksanaan project LPB di Sarawak.

Hala tuju baharu pelaksanaan projek LPB di Sarawak adalah bukti komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperlihatkan kelangsungan pembinaan lebuhraya ini demi pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat tempatan, katanya pada majlis perasmian penyerahan surat pelantikan itu dan mengemukakan pelan hala tuju projek LPB Sarawak di Kuching hari ini.

Berdasarkan tamatnya kontrak syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai Rakan Pelaksana Projek berkuat kuasa pada 20 Feb, 2020, projek LPB di Sarawak kini akan dilaksanakan melalui kaedah konvensional, iaitu KKR mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek dengan kerjasama JKR Malaysia dan JKR Sarawak.

Melalui kaedah konvensional ini, JKR Malaysia akan berperanan sebagai Jurutera Perunding Bebas dalam memberi khidmat nasihat kepada KKR dan JKR Sarawak untuk memastikan pematuhan spesifikasi teknikal dan pengauditan berkala.

Baru berkata anggaran penjimatan bagi projek LPB Sarawak berdasarkan perbezaan keseluruhan kos pembangunan di antara model PDP dengan kaedah konvensional itu adalah sebanyak RM2.865 bilion.

 Namun begitu, kos muktamad hanya akan diperolehi selepas penilaian penuh dilakukan di masa yang akan datang, katanya.

Beliau berkata KKR juga memperlihatkan kelangsungan pembinaan terhadap 11 Kontraktor Pakej Kerja dan 40 kontrak perunding telah diinovasi kepada kerajaan berdasarkan kontrak semasa.

Penamatan pelaksanaan projek secara kontrak PDP ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan kepada kerajaan dengan menggunakan kepakaran sedia ada.

Di samping itu, ia juga merupakan penambahbaikan kepada struktur pelaksanaan projek dengan mengekalkan khidmat kontrak perunding yang diperlukan sahaja tanpa menjejaskan skop, aspek keselamatan dan kelangsungan projek.

Selain itu, Pelan Pengurusan Trafik dan penyenggaraan semasa pembinaan akan ditambah baik melalui pemantauan secara langsung dan berterusan oleh KKR dan JKR Sarawak.

LPB di Sarawak adalah sebahagian daripada Lebuhraya Trans-Borneo yang akan bersambung dengan LPB di Sabah 786.41 kilometer (km),  Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) 425 km dan lebuh raya sepanjang 40 km dari Kalabakan ke Serundong di Sabah.

Ia juga akan disambungkan ke Simanggaris di Kalimantan, Indonesia melalui Laluan Selatan Lebuhraya Trans-Kalimantan 3,901 km dan akhirnya mengelilingi seluruh Borneo, menghubungkan hampir setiap pekan dan bandar persisiran pantai di Malaysia (Sabah dan Sarawak), Indonesia serta Brunei.

Suara Sarawak