KUCHING: Satu Garis Panduan Khusus bagi Penanaman Baharu Kelapa Sawit di Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak telah dirumuskan untuk memenuhi syarat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0, kata Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) itu berkata, garis panduan tersebut mengesahkan bahawa tanah NCR layak untuk pensijilan.
“Usaha ini menunjukkan komitmen penuh Kerajaan dalam membantu pekebun kecil meningkatkan kelestarian alam sekitar, mematuhi piawaian undang-undang dan memperkukuh akses pasaran bagi minyak sawit yang dihasilkan di tanah NCR.
“Sekali gus, menyediakan arahan yang jelas bagi menyokong pematuhan MSPO 2.0,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rundi mendedahkan bahawa Sarawak kekal sebagai negeri dengan keluasan tanaman sawit terbesar di Malaysia, iaitu 1.7 juta hektar setakat September 2025, menunjukkan kekuatan sektor komoditi negeri berkenaan.
Dari Januari hingga September 2025, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit meningkat daripada RM12.41 bilion kepada RM13.18 bilion, sekali gus mencerminkan permintaan pasaran yang terus berkembang.
“Setakat September 2025, sebanyak 1.5 juta hektar (93 peratus) kawasan sawit Sarawak memperoleh pensijilan MSPO, manakala selebihnya sedang melalui proses pematuhan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) membuka kawasan pembangunan NCR baharu di Sarikei dan Sibu, melibatkan 6,400 hektar yang dibangunkan secara berfasa sebagai sebahagian agenda pembangunan inklusif Sarawak.
“Untuk tahun 2025, Kerajaan Persekutuan meluluskan pinjaman disemak berjumlah RM4 juta bagi meneruskan tanaman baharu di Ulu Sungai Wak, Sarikei melibatkan 1,500 hektar bagi pelaksanaan fasa pertama.
“Sehingga Oktober 2025, lebih 200 hektar telah ditanam di kawasan tersebut dan apabila keseluruhan projek siap, dijangka memberi manfaat secara langsung kepada sekitar 1,600 peserta NCR terbabit,” katanya.
SALCRA turut meneruskan program penanaman semula terancang bagi estet yang telah mencapai penghujung kitaran ekonomi, memastikan produktiviti sawit dapat dikekalkan serta disesuaikan dengan keperluan industri semasa.
“Daripada pinjaman Persekutuan berjumlah RM24 juta, sebanyak RM21 juta telah diterima bagi menyokong penanaman semula di Saratok, Sri Aman, Serian dan Bau-Lundu, dengan 1,341 hektar sudah ditanam semula sehingga 30 Oktober 2025,” ujarnya.



