KEM renang Malaysia menambah satu lagi pingat pada hari terakhir saingan renang menerusi acara 50 meter kuak dada lelaki apabila Andrew Zheng Yen Go meraih pingat perak di pentas Sukan SEA.
Catatan masa 27.96 saat itu menyaksikan Andrew menamatkan saingan di tempat kedua yang berlangsung di Kolam Renang SAT hari ini, sekaligus menyumbang pingat penting buat kontinjen renang negara.
Mengulas prestasinya, Andrew mengakui saingan kali ini menguji ketahanan mentalnya selepas permulaan kempen yang kurang memuaskan, namun beliau berpuas hati kerana berjaya menutup penyertaan dengan keputusan positif.
“Kejohanan ini seperti roller coaster. Saya tidak bermula dengan baik, tetapi saya gembira dapat membawa pulang pingat perak.
“Sudah tentu sasaran saya seterusnya adalah emas,” katanya.

Jelasnya lagi, ini adalah kali kedua beliau bertanding dalam Sukan SEA yang mana pada edisi sebelum ini, beliau gagal membawa sebarang pingat.
“Kemenangan ini adalah sesuatu yang besar untuk saya kerana ia merupakan pencapaian terbaik saya di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pelan perlumbaan berjaya dilaksanakan seperti dirancang walaupun berdepan sedikit tekanan ketika di dalam kolam.
“Saya ada panik sedikit, tetapi akhirnya semuanya berjalan dengan baik dan saya berjaya meraih pingat,” ujarnya.
Pada masa sama, Andrew berkata beliau akan kembali menjalani latihan di Malaysia sebelum berlepas ke Amerika Syarikat bagi meneruskan pengajian, namun akan kembali menyertai kejohanan antarabangsa pada masa depan.
Dalam perlumbaan tersebut, emas dimenangi perenang Singapura, Chun Ho Chan dengan catatan masa 27.68 saat, manakala gangsa menjadi milik atlet Indonesia, Felix Victor Iberle yang mencatatkan 28.02 saat.




