APABILA mendengar berita Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia semalam pada usia 100 tahun, fikiran saya terus teringat kepada seorang lagi wanita yang pernah dekat dengan hidup saya.
Nenek saya. Arwah meninggal dunia pada 2010 kalau saya tidak salah ingat.
Usianya mencecah 98 tahun, 24 bulan lagi memasuki usia 100 tahun. Nenek tidak pernah mempunyai formula kesihatan yang canggih.
Tidak ada makanan tambahan mahal.
Tidak ada minuman kesihatan di dalam botol cantik.
Tidak ada penghitung langkah di tangan atau jam yang mengingatkan berapa ribu langkah yang perlu dicapai setiap hari.
Hari tuanya sangat sederhana.
Menunya cuma sayur sawi dan ikan.
Sarapan dan minum petangnya cuma roti tawar masin atau orang Sarawak gelar roti keben masin dan air teh tanpa susu.
Begitulah makanan yang saya ingat.
Ringkas, tidak berlebihan dan tidak banyak pilihan seperti yang kita ada hari ini. Namun, nenek hidup panjang.
Bukan saya katakan kerana makanannya hidup panjang namun sedikit sebanyak pada usia begitu dia tidak mempunyai penyakit.
Rambut lebat panjang tanpa uban, cuma kakinya tidak lagi kuat untuk melangkah.
Kalau hendak ke bilik mandi, dia menggunakan kedua-dua kakinya dengan cara mengensot perlahanlahan.
Justeru, melihat kehidupan orang tua dahulu, kita kadangkadang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang membuat seseorang mampu sampai ke usia yang panjang.
Adakah makanan?
Adakah genetik?
Adakah cara hidup?
Atau mungkin gabungan semuanya yang tidak mudah kita ukur?
Hari ini kita mempunyai lebih banyak pengetahuan tentang kesihatan.
Kita membaca tentang protein, serat, kolesterol, gula, tekanan darah, senaman, tidur dan pelbagai jenis makanan yang dikatakan baik untuk tubuh.
Kita juga mempunyai lebih banyak pilihan.
Tetapi semakin banyak pilihan yang kita ada, semakin banyak pula kita perlu belajar mengawal diri.
Nenek saya tidak pernah bercakap tentang kalori malah dia tidak tahu apa-apa pantang larang makan.
Tetapi dia makan dengan sederhana.
Dia tidak pernah bercakap tentang gaya hidup aktif.
Tetapi kehidupan hariannya sendiri sudah cukup membuatkan tubuh bergerak.
Mungkin orang dahulu tidak mempunyai istilah kesihatan yang begitu banyak seperti kita hari ini tetapi mereka mempunyai satu perkara yang semakin mahal dalam kehidupan moden iaitu kesederhanaan.
Sebab itu apabila memikirkan usia 100 tahun Tun Dr Siti Hasmah, saya tidak melihat angka itu semata-mata sebagai satu pencapaian umur.
Saya teringat kepada perjalanan hidupnya.
Beliau bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri.
Beliau sendiri ialah seorang doktor dan antara perintis wanita Melayu dalam bidang perubatan dan kesihatan awam.
Sepanjang kerjayanya, beliau banyak memberi perhatian kepada kesihatan ibu dan kanak-kanak, imunisasi, wanita luar bandar, pencegahan penyalahgunaan dadah dan pendidikan kesihatan masyarakat.
Barangkali di situlah menariknya kisah seorang manusia yang mencapai usia satu abad.
Nenek saya pula bukan wanita luar biasa.
Dia buta huruf. Waktu mudanya bekerja sebagai penoreh getah dan menanam padi.
Selebihnya, dia duduk rumah menikmati hari melihat kami hidup.
Panjang umur bukan hanya tentang berapa lama seseorang hidup tetapi apa yang dilakukan sepanjang hidup itu.
Ada orang hidup lama tetapi hidupnya hanya berputar pada dirinya sendiri.
Ada yang mungkin tidak pernah mencapai usia 100 tahun tetapi kehidupannya meninggalkan kesan kepada begitu ramai manusia.
Tun Dr Siti Hasmah memilih untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Nenek saya pula memilih untuk menjadi batu bersurat di dalam rumah. Batu bersurat tidak ke manamana.
Ia tidak mengejar nama, tidak mencari pengiktirafan dan tidak perlu berdiri di hadapan khalayak untuk membuktikan sesuatu.
Tetapi pada dirinya tersimpan cerita tentang zaman yang dilaluinya.
Begitulah nenek saya Itulah satu bentuk panjang umur yang jarang kita bincangkan.
Bukan sekadar panjang usia tetapi panjang manfaat.
Kita selalu berharap untuk hidup sampai 70, 80, 90 atau 100 tahun.
Kita mahu melihat anak membesar, cucu berjaya dan keluarga terus bersama.
Saya pun mahu menikmati zaman tua melihat cucu membesar.
Itu semua adalah doa yang baik tetapi mungkin kita juga patut bertanya satu soalan lain; kalau kita diberikan umur yang panjang, apakah yang mahu kita lakukan dengan umur itu?
Kerana umur yang panjang tanpa makna mungkin hanya menjadi angka.
Nenek saya mungkin tidak mempunyai kisah sebesar Tun Dr Siti Hasmah.
Tidak ada sejarah perubatan, tidak ada jawatan besar dan tidak ada nama yang dikenali masyarakat.
Tetapi bagi keluarga, kehidupannya juga meninggalkan sesuatu.
Hari ini makanan kita jauh lebih banyak.
Kita boleh memilih apaapa sahaja.
Tetapi kadang-kadang saya terfikir, mungkin tubuh manusia tidak meminta sebanyak yang kita fikirkan.
Kita yang selalu mahu lebih.
Lebih sedap.
Lebih banyak.
Lebih manis.
Lebih mewah.
Sedangkan tubuh mungkin hanya memerlukan secukupnya.
Ada satu perkara lagi yang mungkin kita terlupa.
Orang dahulu tidak terlalu sibuk mengejar kehidupan sehingga mereka tidak sempat menikmati kehidupan.
Mereka duduk berbual.
Mereka berjalan.
Mereka bekerja.
Mereka memasak.
Mereka makan bersama keluarga.
Mereka tidur dan bangun mengikut rutin yang lebih teratur.
Hari ini kita mempunyai segala kemudahan tetapi kita terlalu sibuk untuk menikmati semuanya.
Kita makan sambil melihat telefon.
Kita bercakap sambil membalas mesej.
Kita berehat sambil memikirkan kerja.
Kita tidur tetapi fikiran masih bekerja.
Mungkin sebab itu apabila usia semakin meningkat, kita mula mencari semula sesuatu yang dahulu kita anggap biasa iaitu ketenangan.
Seperti Tun Dr Siti Hasmah, beliau bukan lagi sekadar seorang wanita yang panjang umur.
Beliau menjadi sebahagian daripada sejarah negara.
Dan pada hari pemergiannya,
kita mungkin boleh melihat semula kehidupan beliau bukan hanya sebagai satu cerita tentang usia, tetapi sebagai cerita tentang khidmat.
Nenek saya pula mengajar kami perkara yang jauh lebih kecil tetapi mungkin sama pentingnya; tidak perlu terlalu banyak untuk menjalani kehidupan yang baik.
Cukuplah makan seadanya, bekerja selagi mampu dan menyayangi keluarga serta memiliki hati yang tenang.
Dan apabila sampai waktunya, kita pergi dengan meninggalkan kenangan yang baik kepada orang yang pernah hidup bersama kita.
Seratus tahun mungkin tidak dianugerahkan kepada semua orang.
Tetapi setiap orang yang masih hidup hari ini sebenarnya sedang mengumpul satu perkara yang lebih penting daripada angka seperti kenangan, hubungan dan manfaat yang ditinggalkan.
Nenek saya meninggalkan kenangan tentang sawi, ikan dan makanannya.
Tun Dr Siti Hasmah meninggalkan sejarah panjang dalam bidang perubatan dan khidmat masyarakat.
Dua kehidupan yang sangat berbeza tetapi ada satu persamaan yang membuatkan saya berfikir hari ini.
Mungkin rahsia hidup bukan semata-mata untuk hidup paling lama.
Tetapi untuk apabila tiba hari kita pergi, ada orang yang masih mengingati kita dengan rasa syukur.
Kerana akhirnya, panjang umur adalah tentang jumlah tahun yang kita lalui.
Tetapi panjang manfaat adalah tentang berapa lama kebaikan kita terus hidup selepas kita tiada.



